100 Penduduk Orang Asli Bukit Baja terima pampasan hingga RM200,000

27 Mei 2026, 6:55 AM
100 Penduduk Orang Asli Bukit Baja terima pampasan hingga RM200,000

SEPANG, 27 MEI: Seramai 100 pengusaha tanah dalam kalangan penduduk Kampung Orang Asli Bukit Baja, Dengkil menerima pampasan tanah diteroka dengan nilai sehingga RM200,000 menerusi proses penempatan semula dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah, berkata penerima sebelum ini sudah menerima bayaran awal sebanyak 10 peratus pada Januari lalu manakala kali ini melibatkan pampasan kawasan tanah diteroka.

“Penilaian dibuat secara berperingkat dan mungkin akan ada dua tiga lagi penyampaian yang akan dilakukan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Cek Pengusaha Tanah Penduduk Kampung Orang Asli Bukit Baja di Galeri PKNS Cyber Valley, semalam.

EXCO Perumahan & Kebudayaan, Dato’ Borhan Aman Shah bercakap keapda media dalam majlis penyerahan cek kepada pengusaha tanah penduduk kampung orang asli Bukit Baja Mukim Dengkil daerah Sepang di Galeri Jualan Cyber Valley pada 26 May 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Menurut beliau, penilaian dibuat berdasarkan keluasan tanah diteroka serta tempoh menetap di kawasan berkenaan bagi memastikan proses pampasan dibuat secara adil dan berpatutan.

“Seperti biasa, kita mengambil kira kepentingan masyarakat Orang Asli sebaik mungkin berdasarkan kadar mereka meneroka tanah dan berapa lama mereka telah duduk di kawasan tersebut,” katanya.

Borhan berkata, setiap keluarga turut menerima pakej penempatan semula melibatkan rumah sesebuah berkeluasan 1,000 kaki persegi, wang tunai RM100,000 dan bantuan pemindahan RM7,000.

Katanya, penerima juga layak menerima pampasan tanaman mengikut penilaian dibuat PKNS dengan nilai sehingga RM200,000.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.