SHAH ALAM, 3 MEI: Capaian internet yang semakin meluas kini membuka peluang sama rata kepada pelajar luar bandar untuk cemerlang, terbukti apabila Nur Dania Suhaila Johari, 18, meraih 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 walaupun menetap di kawasan pedalaman.
Pelajar dari Bukit Changgang itu berkata kemudahan internet yang lebih baik memudahkan akses kepada bahan pembelajaran, sekali gus membantu meningkatkan prestasi akademik.
“Duduk di kampung bukan alasan untuk tidak berjaya kerana sekarang capaian internet semakin baik dan memudahkan kita mencari maklumat jika tidak faham.
“Kalau tiada internet pun bukan halangan kerana sekolah telah menyediakan buku teks. Jadi tiada alasan untuk tidak belajar atau berjaya,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau ditemui pada Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik Pelajar Orang Asli SPM 2025 di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Dalam majlis sama, seramai 13 pelajar Orang Asli dari Kuala Langat, Sepang, Hulu Langat, Gombak dan Petaling yang mencatat keputusan cemerlang menerima wang tunai dan plak penghargaan yang disampaikan EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang, Qistina Ibtisam Muhammad Khairi yang memperoleh 7A, berhasrat menyambung pengajian dalam bidang perakaunan.
Menurutnya, kejayaan dicapai melalui disiplin diri termasuk pemakanan sihat dan pengurusan masa yang baik.
“Pendidikan sangat penting untuk memajukan diri dan menjamin masa depan yang lebih baik,” katanya.








