Orang Asli digesa sambung pelajaran, manfaat TVET tingkat sosioekonomi - EXCO

3 Mei 2026, 5:51 AM
Orang Asli digesa sambung pelajaran, manfaat TVET tingkat sosioekonomi - EXCO

SHAH ALAM, 3 MEI: Masyarakat Orang Asli disaran merebut peluang pendidikan sehingga ke peringkat lebih tinggi bagi meningkatkan taraf sosioekonomi sekali gus membantu mereka keluar daripada kitaran kemiskinan.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu berkata Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai platform termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi membuka laluan masa depan lebih baik kepada generasi muda.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berucap dalam Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik Pelajar Orang Asli Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 3 Mei 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Contohnya, di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) kita sediakan pendidikan percuma dan asrama dalam pelbagai sektor kemahiran termasuk kepakaran dalam dron.

“Justeru, masyarakat khususnya ibu bapa perlu meremajakan fikiran dengan berpandangan jauh bahawa bidang-bidang ini bantu dalam kemajuan supaya terus cemerlang dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik Pelajar Orang Asli Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini hari ini.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu menyampaikan plak dan sumbangan wang tunai kepada penerima dalam Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik Pelajar Orang Asli Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 3 Mei 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Seramai 13 pelajar Orang Asli dari Kuala Langat, Sepang, Hulu Langat, Gombak dan Petaling yang mencapai keputusan cemerlang menerima wang tunai serta plak penghargaan sebagai pengiktirafan.

Papparaidu berkata jumlah pelajar cemerlang dalam kalangan masyarakat Orang Asli menunjukkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan keberkesanan usaha memperluas akses pendidikan.

Dalam masa sama, beliau yang juga EXCO sumber manusia mengingatkan tok batin supaya memainkan peranan aktif memastikan anak-anak komuniti tidak tercicir daripada arus pendidikan.

“Kita ada hampir 22,000 Orang Asli di Selangor, sudah pasti tok batin memainkan peranan memastikan golongan ini dibangunkan termasuk berkaitan bantuan disedia Kerajaan Negeri.

“Peruntukan juga disediakan untuk mereka laksana pelbagai program dan tok batin sebagai ketua perlu aktif laksana demi kejayaan kampung masing-masing,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.