SEPANG, 27 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyediakan tabung komuniti berjumlah RM3 juta bagi menyokong pembangunan masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Baja, Dengkil susulan pelaksanaan penempatan semula penduduk di kawasan baharu.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata peruntukan itu melibatkan tabung adat, pendidikan dan pembangunan komuniti termasuk penyediaan kemudahan asas.
“RM3 juta ini memang khas kita bagi untuk tabung adat, pendidikan, pembangunan dan kita sediakan dewan dan juga untuk pentadbiran tok batin serta sebarang aktiviti berkaitan komuniti Orang Asli itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Cek Pengusaha Tanah Penduduk Kampung Orang Asli Bukit Baja di Galeri PKNS Cyber Valley, semalam.
Menurut Borhan, dana berkenaan turut bertujuan membantu pendidikan anak Orang Asli termasuk berkaitan persekolahan dan pengajian tinggi selain bantuan kerajaan.
Borhan berkata, keseluruhan kos penempatan semula komuniti itu dianggarkan hampir RM90 juta termasuk pembinaan rumah dan penyediaan fasiliti sokongan.
Katanya, penempatan baharu di kawasan kira-kira 8.8 ekar dijangka mula dibangunkan Julai ini dengan tempoh siap sekitar setahun.
“Awal bulan Julai kita akan mula pembinaan rumah untuk 56 keluarga. Kita jangka setahun rumah itu akan siap,” katanya.








