SHAH ALAM, 26 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menetapkan pelaksanaan ibadah korban membabitkan warga asing termasuk komuniti Rohingya dan Bangladesh perlu mematuhi piawaian kesihatan serta tidak mengganggu penduduk setempat.
Timbalan Yang Dipertuanya Hasrolnizam Shaari berkata, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan sambutan Aidiladha tahun ini berlangsung secara lebih teratur, bersih dan selamat.
Menurutnya, MPAJ turut menyediakan dua lokasi khas untuk pelaksanaan ibadah korban membabitkan komuniti berkenaan.
Lokasi yang ditetapkan ialah kawasan lapang bersebelahan Surau Nurul Huda Seri Mayang di Pandan Indah serta kawasan lapang di Taman Sri Bayu.
“MPAJ turut membantu menyediakan pelbagai kemudahan di kedua-dua tapak termasuk khemah, sumber elektrik, lubang sisa penyembelihan selain bekalan air dan tangki khas.
“Langkah ini bagi memastikan proses ibadah korban dapat dijalankan secara lebih teratur, bersih dan selamat,” katanya dalam mesyuarat bulanan.
Beliau berkata, setiap haiwan yang terlibat dengan ibadah korban perlu didaftarkan terlebih dahulu dan dikenakan caj yuran penyertaan mengikut kategori haiwan.
Katanya, kadar caj yang ditetapkan ialah RM550 bagi lembu dan kerbau, diikuti kambing serta kibas (RM300) manakala unta (RM600).
“Peserta juga perlu bertanggungjawab dalam aspek pengurusan kebersihan, keselamatan serta peralatan yang digunakan sepanjang program berlangsung.
“Pada masa sama, anggota Jabatan Penguatkuasaan MPAJ akan ditempatkan di lokasi bagi tujuan pemantauan dan memastikan semua syarat dipatuhi,” ujarnya.







