SHAH ALAM, 18 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memperuntukkan kira-kira RM4.7 juta bagi menaik taraf dua medan selera dalam usaha meningkatkan keselesaan pengunjung.
Projek pengubahsuaian itu melibatkan Medan Selera Lama Taman Melawati di Ampang Jaya dan Medan Selera AU5 di Taman Lembah Keramat.
Menurut laporan The Star, MPAJ memaklumkan sebanyak RM1.2 juta diperuntuk bagi kerja naik taraf di Medan Selera Lama Taman Melawati yang dijangka siap pada 10 September ini.
Antara kerja yang dilaksanakan termasuk pembaikan bumbung, penambahbaikan tandas awam dan surau, kawasan parkir serta ruang makan, selain penambahan elemen landskap bagi mewujudkan persekitaran lebih selesa.
Beberapa pelanggan tetap menyifatkan kerja naik taraf itu sebagai langkah tepat memandangkan keadaan medan selera berkenaan semakin uzur dan memerlukan penyelenggaraan lebih baik.
Penduduk Taman Melawati, Abdul Ashraff Abdul Manaf, 71, berkata medan selera itu terkenal dengan makanan yang sedap dan harga berpatutan, namun isu kebersihan serta penyelenggaraan menjejaskan keselesaan pelanggan.
“Memang sudah sesuai untuk dinaik taraf akhirnya,” katanya.
Rakannya, Muhamad Hilman Hanif, 67, berkata penambahbaikan itu dijangka mampu menarik lebih ramai pengunjung baharu selain meningkatkan keselesaan pelanggan tetap.
“Tempat ini memang lokasi yang mudah dikunjungi, tetapi keadaannya semakin kurang menarik dari semasa ke semasa.
“Dengan kemudahan yang lebih baik, saya percaya lebih ramai orang akan kembali dan pelanggan baharu juga akan datang,” katanya sambil berharap peniaga lama kembali berniaga selepas projek selesai.
MPAJ turut memaklumkan seramai 15 peniaga dipindahkan sementara ke Bazar Melawati dan Medan Selera Anjung Melawati bagi memastikan operasi perniagaan dapat diteruskan sepanjang tempoh kerja naik taraf.
“Mereka telah dipindahkan bagi memastikan kelangsungan perniagaan sepanjang tempoh pelaksanaan,” menurut MPAJ.
Sementara itu, projek naik taraf Medan Selera AU5 pula dianggarkan bernilai RM3.5 juta menerusi pembiayaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, tertakluk kepada keperluan teknikal terperinci.








