Care Navigator Selangor bantu warga emas, generasi ‘sandwich’

24 Mei 2026, 9:32 AM
Care Navigator Selangor bantu warga emas, generasi ‘sandwich’
Care Navigator Selangor bantu warga emas, generasi ‘sandwich’
Care Navigator Selangor bantu warga emas, generasi ‘sandwich’

SHAH ALAM, 24 MEI: Kerajaan Negeri sedang meneliti pandangan pelbagai pihak termasuk komuniti setempat bagi memperkukuh pembangunan inisiatif Care Navigator Selangor khusus membantu warga emas dan golongan generasi ‘sandwich’ yang berdepan cabaran menjaga keluarga.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata inisiatif itu selaras Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang memberi penekanan terhadap aspek penjagaan jangka panjang atau Long Term Care (LTC).

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan kebajikan rakyat terutama golongan rentan terus diberi perhatian menerusi sokongan berasaskan komuniti.

"Dalam RMK13, LTC yang saya difahamkan ada peruntukan RM4 bilion dan di bawah Kerajaan Negeri kita sedang merencana untuk mewujudkan satu inisiatif yang dipanggil Care Navigator.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berucap ketika majlis Perasmian Hajikids 2.0 dan Pelancaran Bantuan Rahmah Insan Istimewa Selangor (BRAIS) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 16 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

"Navigator ini penting untuk kita kenal pasti apakah jenis keperluan, di mana sumbernya dan agensi mana yang perlu kita sejajarkan," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Anfaal turut memaklumkan ramai yang beliau temui terutama warga emas, tinggal sendirian dan juga anak-anak yang dalam diam memikul tanggungjawab menjaga ibu bapa serta keluarga mereka.

"Ramai daripada generasi 'sandwich' ini nampak kuat, tapi sebenarnya sedang berdepan cabaran yang tidak mudah," katanya.

Pada masa sama, Anfaal memaklumkan beliau berkesempatan mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Pandamaran bagi mendengar pembentangan daripada Ketua Klinik Kesihatan Pandamaran, Dr Zil bersama wakil Kelab Warga Emas Klinik Kesihatan Pandamaran dan Persatuan Kebajikan Usiamas Malaysia.

Katanya, pelbagai pandangan dan pengalaman yang dikongsi dan segala input yang diterima akan dijadikan rujukan dalam membangunkan Care Navigator Selangor supaya inisiatif itu benar-benar memenuhi realiti kehidupan rakyat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.