SHAH ALAM, 14 MEI: Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor 2026-2030 menyediakan garis panduan khas yang mesti dipatuhi pelbagai pihak sebelum sesebuah projek pembangunan dijalankan.
Menurut EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari, garis panduan itu diwajibkan ke atas semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini sebelum meluluskan pembangunan baharu.

“Reka bentuk sejagat ini sudah digariskan dalam Pelan Malaysia, namun pada peringkat negeri kita akan bangunkan garis panduan khusus yang wajib dipatuhi semua PBT di Selangor.
“Mana-mana pembangunan baharu yang ingin mendapat kelulusan perancangan perlu memenuhi syarat aksesibiliti serta keperluan OKU,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata langkah itu bagi memastikan pergerakan, keselamatan dan akses peluang ekonomi OKU dipertingkat melalui pembangunan infrastruktur yang lebih inklusif dan mesra pengguna.
Katanya, Kerajaan Negeri turut bercadang untuk kakitangan membuat audit akses bagi memastikan bangunan kerajaan dan ruang awam sedia ada benar-benar memenuhi keperluan OKU.
“Pendekatan ini penting supaya warga OKU dapat bergerak dengan lebih selamat dan selesa selain menikmati akses sama rata terhadap kemudahan awam serta peluang ekonomi,” katanya.
Anfaal memaklumkan pihaknya juga memberi perhatian terhadap isu keselamatan OKU penglihatan ekoran beberapa insiden nahas maut di kawasan pengangkutan awam termasuk stesen LRT.
Menurutnya, pelaksanaan dasar itu dibuat secara berperingkat, bermula sesi libat urus bersama PBT, jabatan kerajaan, pejabat daerah dan tanah serta badan bukan kerajaan (NGO).
Beliau merujuk kepada dasar OKU Selangor mengandungi lima teras meliputi jangka pendek dan panjang yang telah diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), baru-baru ini.
Ia merangkumi kesejahteraan hidup dan kesaksamaan, pendidikan dan pembangunan sepanjang hayat, produktiviti pembangunan ekonomi, aksesibiliti serta reka bentuk sejagat selain tadbir urus dan advokasi OKU.
Tingkat kesedaran
Sementara itu, Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS) pula berkata tumpuan awal dasar itu kepada aspek aksesibiliti dan peluang kerja yang berkait rapat kehidupan seharian OKU.
Menurut Danial Al-Rashid Haron, kesedaran dan pematuhan terhadap garis panduan aksesibiliti penting bagi memastikan pembangunan baharu termasuk kawasan komersial benar-benar mesra OKU.

“Pembangunan baharu ini melibatkan kawasan komersial yang turut perlu mesra OKU kerana mereka juga mahu ke kedai, pusat beli-belah dan berurusan seperti masyarakat lain.
“Sebab itu kita mahu meningkatkan kesedaran dan pematuhan terhadap garis panduan aksesibiliti supaya pembangunan baharu termasuk kawasan komersial lebih mesra OKU.
“Jika PBT atau kontraktor terlepas pandang aspek aksesibiliti, tentu timbul masalah apabila OKU tidak dapat akses bangunan, taman awam dan pelbagai kemudahan lain dengan selesa,” katanya.
Beliau memberitahu keperluan golongan autisme dan OKU pembelajaran turut diberi perhatian serius termasuk penyediaan ruang khas seperti bilik tenang atau ‘calm room’ di kawasan awam.
Katanya, pentadbiran negeri juga mahu meluaskan peluang kerja kepada OKU termasuk penempatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dan bekerja dari rumah melalui wadah digital.
“Pekerjaan juga menjadi antara agenda utama kerajaan negeri dalam tempoh dua tahun ini, khususnya bagi 2026 dan 2027,” kata beliau lagi.








