SHAH ALAM, 10 MEI: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Selangor 2026-2030 sebagai langkah memperkukuh hak serta inklusiviti golongan berkenaan.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata kelulusan dasar itu minggu lalu merupakan hasil usaha berterusan pelbagai pihak dalam memperjuangkan kepentingan komuniti OKU.
“Alhamdulillah lulus. Perjuangan memperkasa hak dan inklusiviti OKU bukanlah perjalanan singkat, ambil masa bertahun-tahun dengan pelbagai usaha, suara dan harapan dan akhirnya membuahkan hasil.
“Insya-Allah, kita terus melangkah dengan tekad menjadikan Selangor sebuah negeri yang benar-benar inklusif,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Sebelum ini, Anfaal memaklumkan dasar tersebut memberi penekanan kepada pembangunan prasarana, selaras usaha Kerajaan Negeri memperluas akses dan peluang saksama kepada golongan OKU.
Menurutnya, dasar itu bukan sekadar menumpukan aspek kebajikan, malah menjadi panduan kepada agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam merangka pembangunan yang lebih inklusif.
Pada Januari lalu, Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS) Danial Al-Rashid Haron berkata dasar berkenaan menggariskan lima teras strategik meliputi jangka pendek dan panjang.
Lima teras tersebut merangkumi kesejahteraan hidup dan kesaksamaan, pendidikan dan pembangunan sepanjang hayat, produktiviti pembangunan ekonomi, aksesibiliti serta reka bentuk sejagat selain tadbir urus dan advokasi OKU.







