Sungai Sepakat tersumbat punca banjir kilat, kerja pengorekan selesai

22 Mei 2026, 6:55 AM
Sungai Sepakat tersumbat punca banjir kilat, kerja pengorekan selesai

SHAH ALAM, 22 MEI: Kerja pembersihan dan pengorekan Sungai Sepakat di Jalan Sepakat, Kampung Melayu Batu 16 sudah selesai dijalankan selepas kawasan itu dilanda banjir kilat Ahad lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer Anfaal Saari berkata tindakan segera itu dibuat selepas beliau turun padang melihat keadaan penduduk yang terjejas pada Isnin.

Menurutnya, banjir berlaku akibat hujan terlalu lebat dalam tempoh singkat selain kayu tersangkut di titi dan culvert Sungai Sepakat hingga menghalang aliran air.

“Walaupun air sudah surut, masih ada rumah berselut dan penduduk perlu membersihkan banyak barang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor bersama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) turut memantau keadaan titi dan culvert di kawasan terbabit.

Katanya, Unit Cerun Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) juga akan memantau kawasan cerun berisiko dengan lebih teliti.

Anfaal turut memaklumkan terdapat hakisan cerun berhampiran Teratak Tok Wan dan perkara itu akan disusuli bersama agensi berkaitan supaya tindakan segera dapat diambil.

“Saya akan terus follow up dengan semua agensi terlibat dan pastikan semua kerja yang dipersetujui siap sepenuhnya,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.