Selangor guna input meja bulat AI perkasa kemahiran digital wanita

21 Mei 2026, 3:54 PM
Selangor guna input meja bulat AI perkasa kemahiran digital wanita
Selangor guna input meja bulat AI perkasa kemahiran digital wanita

SHAH ALAM, 21 MEI: Kerajaan Negeri akan menggunakan hasil cadangan dan pandangan yang dikumpulkan menerusi sesi meja bulat kecerdasan buatan (AI) sebagai panduan rasmi dasar bagi mempercepat program peningkatan serta penyesuaian semula kemahiran wanita untuk pekerjaan digital masa depan.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata perkembangan pesat AI dan automasi memerlukan langkah intervensi lebih pantas supaya wanita tidak tercicir dalam arus transformasi digital.

Menurut beliau, berdasarkan Laporan Jurang Gender Global 2025, jurang gender dunia masih berada pada kadar 68.8 peratus, manakala Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menganggarkan hampir 29 peratus pekerjaan dalam sektor yang didominasi wanita berpotensi terjejas akibat automasi.

“Data ini memerlukan Selangor bertindak lebih pantas melalui program intervensi yang lebih tersasar.

“Bagi memastikan keberkesanan jangka panjang, semua input dan cadangan daripada meja bulat hari ini akan dijadikan rujukan rasmi Kerajaan Negeri dalam merangka pendekatan dasar serta inisiatif reskilling dan upskilling untuk pasaran pekerjaan masa depan,” katanya.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari ketika sesi perbincangan meja bulat: Wanita dan AI - Membangun Daya Tahan dalam Era Digital di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Mei 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Siri Ketiga Meja Bulat bertemakan ‘Wanita dan AI — Membangun Daya Tahan dalam Era Digital’ di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Menurut Anfaal, langkah itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada wanita tercicir dalam peralihan digital selain membina masyarakat yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor Siti Faridah Abdul Samad berkata negeri itu akan mula memperkenalkan modul latihan berkaitan AI untuk wanita menerusi program Jelajah Wanita Berdaya Tahan bermula di daerah Petaling pada 6 Jun ini.

“Kita akan mulakan dengan modul Kerjaya Gender dalam AI dengan kerjasama TalentCorp untuk peserta wanita. Ini adalah percubaan pertama dan kita akan terus menambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata program itu kemudiannya akan diperluaskan ke beberapa daerah lain di seluruh Selangor.

Ketika ditanya mengenai maklum balas yang diperoleh sepanjang sesi meja bulat itu, Anfaal berkata perbincangan banyak tertumpu kepada persediaan tadbir urus AI pada masa depan serta keperluan membangunkan ekosistem digital yang responsif gender.

“Masa depan perlu dibina dari sekarang dengan menyediakan ekosistem yang responsif gender dan memastikan wanita tidak tercicir,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.