AMPANG JAYA, 26 MEI: Penganjuran Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) sebulan sekali di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) membantu orang ramai mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah, sekali gus meringankan beban kos sara hidup.
Warga emas, Rokiah Abdul Rani, 73, berkata tambahan peruntukan RM5 juta diumumkan Kerajaan Negeri bagi memperluas program itu sudah mencukupi untuk menampung keperluan penduduk.
Menurutnya, penganjuran terlalu kerap seperti setiap minggu berpotensi mengundang pembaziran memandangkan kerajaan Persekutuan turut menyediakan bantuan lain kepada rakyat.

“Bagi saya sebulan sekali sudah cukup untuk bantu rakyat mendapatkan bekalan makanan pada harga murah. Kalau dibuat setiap minggu mungkin terlalu kerap dan boleh menyebabkan pembaziran kerana sekarang kerajaan ada menyediakan bantuan lain seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” katanya.
Beliau ditemui pada program JER Mega Aidiladha di Pekarangan Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah di sini, hari ini.
Sementara itu, Farah Nur Anis Abdul Muis, 32, berpandangan penganjuran sekali JER setiap bulan membantu penduduk mendapatkan stok bekalan mencukupi pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Katanya, kebanyakan barangan dijual di JER juga tidak menetapkan had pembelian ketat sekali gus memudahkan pengguna membeli stok keperluan isi rumah.
“Bagi saya sebulan sekali memang memadai kerana boleh membantu orang ramai mendapatkan bekalan barang yang mencukupi berbanding membeli di luar. Malah sekarang JER memang jadi pilihan utama saya untuk beli barangan asas sebab harganya lebih berpatutan,” ujarnya.
Bagi Aimran Kayon, 71, program berkenaan banyak membantu golongan tidak mempunyai pendapatan tetap terutama warga emas.
“Kalau beli ayam di sini, bekalan itu boleh tampung keperluan tiga isi rumah sehingga tiga minggu dan saya boleh jimat kira-kira 40 peratus berbanding beli di luar,” kongsinya.
Kerajaan Negeri memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan RM131 juta, khusus bagi mendepani krisis geopolitik di Asia Barat ketika ini.

Menerusi pakej itu, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak RM5 juta akan diperuntukkan untuk JER 2026 melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang akan berlangsung sebulan sekali pada setiap DUN di seluruh Selangor.
Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan peruntukan itu mampu meringankan kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah, dan bakal memanfaatkan hingga 168,000 isi rumah.
Tambahnya, usaha ini adalah tambahan kepada peruntukan sedia ada RM5 juta yang menjadikan keseluruhan JER 2026 sebanyak RM10 juta.








