SHAH ALAM, 20 MEI: Malaysia terputus hubungan dengan delegasi misi kemanusiaan ke Gaza selepas kesemua aktivis dipercayai diculik tentera Zionis Israel ketika flotila bantuan antarabangsa dipintas di laut antarabangsa, kata Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC).
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata semua delegasi Malaysia kini gagal dihubungi selepas mereka diarahkan membuang telefon bimbit sebagai langkah keselamatan sebelum ditahan rejim Israel.
“Apabila mereka diculik, kita secara penuh terputus hubungan dengan semua delegasi Malaysia dan delegasi dunia,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurut beliau, kesemua 50 kapal yang membawa 428 aktivis kemanusiaan dari 40 negara dipintas dan dikepung secara haram oleh tentera Zionis Israel (IOF) di perairan antarabangsa kira-kira 80 batu nautika dari pantai Gaza pada 18 dan 19 Mei lalu.
Katanya, aktivis terdiri daripada doktor, pengamal media, kru kapal dan pejuang hak asasi manusia itu dipindahkan secara paksa ke kapal perang Israel sebelum dipercayai dibawa ke Pelabuhan Ashdod.
Dr Sani berkata insiden itu turut membabitkan 29 rakyat Malaysia yang berada dalam 18 kapal misi bantuan berkenaan.
Beliau turut mendakwa beberapa kapal diserang secara agresif termasuk menggunakan meriam air bertekanan tinggi dan tembakan ke arah kapal tertentu.
Dalam pada itu, beliau berkata pasukan perundangan SNCC dan Peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) sudah digerakkan lebih awal di beberapa negara bagi menghadapi kemungkinan aktivis dibawa masuk ke wilayah Israel.
"Kami melihat ada helah apabila pihak rejim melengah-lengahkan proses membawa tahanan ini ke darat kerana sebaik sahaja mereka dibawa masuk, pihak berkuasa Israel perlu mematuhi prosedur undang-undang mereka sendiri dalam tempoh 24 jam.
“Berkemungkinan mereka (delegasi) akan tiba hari ini, namun pihak kami sudah bersedia sekiranya semua tahanan yang diculik itu dibawa ke Pelabuhan Ashdod. Pasukan ADALAH bersedia menjadi wakil delegasi dunia yang ditahan.
“Situasi ketika ini sangat tegang, lebih-lebih lagi selepas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap. Jika mereka terus melengah-lengahkan proses ini, tekanan antarabangsa terhadap rejim itu akan menjadi semakin kuat," katanya.
Menurutnya, kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra kini bekerjasama dengan beberapa negara termasuk Turki bagi meningkatkan tekanan antarabangsa supaya semua aktivis dibebaskan segera dan berada dalam keadaan selamat.
Beliau berkata dunia tidak boleh terus berdiam diri terhadap tindakan rejim Israel yang didakwa melanggar undang-undang antarabangsa dan hak misi kemanusiaan awam.








