GSF 2.0: Thiago, Saif dibebaskan dari tahanan Israel

10 Mei 2026, 2:45 PM
GSF 2.0: Thiago, Saif dibebaskan dari tahanan Israel

SHAH ALAM, 10 MEI: Dua aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, Thiago Ávila dan Saif Abukeshek sah dibebaskan daripada tahanan Israel dan sudah dihantar pulang.

Perkara itu dimaklumkan Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) menerusi hantaran di Facebook malam ini yang memetik kenyataan rasmi peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) dan ahli ogranisasi Persekutuan Antarabangsa untuk Hak Asasi Manusia (FIDH).

Menurut kenyataan itu, ADALAH dan FIDH mengecam tindakan rejim Israel sepanjang insiden berkenaan yang didakwa melanggar undang-undang antarabangsa.

"Walaupun mereka kini bebas, ADALAH dan FIDH mengecam keseluruhan proses ini sebagai satu pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.

"Daripada penculikan di perairan antarabangsa sehinggalah penahanan haram dalam pengasingan penuh serta layanan buruk yang mereka terima, tindakan pihak berkuasa Israel merupakan satu serangan berbentuk hukuman terhadap misi awam yang sepenuhnya aman," katanya.

Mereka menyifatkan tindakan terhadap dua aktivis kemanusiaan itu sebagai usaha menekan gerakan solidariti global terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Aktivis flotilla Saif Abukeshek yang ditahan Israel, berada di Mahkamah Majistret bagi perbicaraan lanjutan tempoh tahanan di Ashkelon pada 3 Mei 2026. Foto REUTERS

“Penggunaan penahanan, soal siasat dan penyeksaan terhadap aktivis serta pembela hak asasi manusia adalah cubaan yang tidak boleh diterima untuk menekan solidariti global bersama rakyat Palestin di Gaza,” katanya lagi.

Pada masa sama, ADALAH dan FIDH menegaskan akan terus memperjuangkan isu berkenaan selagi pelanggaran hak asasi manusia masih berlaku.

“Selagi pencabulan hak asasi manusia terus dilakukan setiap hari oleh pihak berkuasa Israel di Gaza, FIDH dan Adalah akan terus bekerja dan berjuang untuk menamatkan budaya kebal daripada tindakan undang-undang ini,” katanya.

Sebelum itu, aktivis Musa al-Nuwayri menerusi hantaran di platform Threads turut memaklumkan pembebasan Saif dan Thiago.

Menurutnya, Saif dibebaskan di Athens, Greece manakala Thiago dilepaskan melalui Mesir dan dijangka tiba di destinasi seterusnya dalam tempoh beberapa jam.

Terdahulu, media melaporkan Sepanyol menuntut pembebasan segera Saif selepas Mahkamah Israel pada Isnin lalu melanjutkan tempoh tahanannya kepada dua hari.

Kedua-duanya ditahan selepas menyertai misi GSF 2.0 ke Gaza yang dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.