SHAH ALAM, 1 MEI: 10 rakyat Malaysia yang diculik rejim Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 disahkan telah dibebaskan dan kini berada di Pelabuhan Lerapetra, Pulau Crete, Greece.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata mereka antara 175 aktivis dipindahkan ke Lapangan Terbang Heraklion menggunakan bas yang disediakan pihak Greece bagi proses penghantaran pulang ke negara masing-masing.
“Kesemua aktivis telah dibawa ke lapangan terbang Heraklion dan proses penghantaran pulang kini sedang diselaraskan,” katanya pada sidang media khas perkembangan terkini Misi Global Sumud Flotilla 2026 di Bangi, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Kerajaan Turki menyediakan sebuah pesawat berkapasiti 160 penumpang bagi membawa pulang 20 rakyatnya, selain menawarkan tempat kepada aktivis lain.
“Penerbangan tersebut dijangka berlepas pada jam 10.15 malam waktu Malaysia dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada jam 11.45 malam waktu Malaysia,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh penahanan, aktivis berdepan layanan tidak wajar termasuk provokasi dan serangan fizikal sehingga menyebabkan kecederaan kepada beberapa peserta.
“Laporan yang diterima menunjukkan berlaku insiden keganasan terhadap aktivis ketika dalam tahanan,” katanya.
Bagaimanapun, dua aktivis antarabangsa iaitu Saif Abukeshek dan Tiago Avila dilaporkan masih ditahan oleh rejim Israel.
Beliau berkata, SNCC kini bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri bagi menyelaras perjalanan pulang rakyat Malaysia, manakala tiga wakilnya telah berada di Istanbul untuk urusan lapangan.
“Keputusan sama ada 10 aktivis Malaysia ini akan meneruskan misi atau pulang ke tanah air bergantung kepada tahap kesihatan dan situasi semasa,” katanya.
SNCC turut menggesa masyarakat antarabangsa terus memberi tekanan bagi memastikan semua aktivis yang masih ditahan dibebaskan segera.
10 rakyat Malaysia yang diculik semalam ialah Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III, Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1), Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN).
Turut terlibat Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi, masing-masing berada dalam kapal Freia dan Marea serta Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai).
Misi GSF 2.0 ialah gabungan maritim antarabangsa dan gerakan mobilisasi global yang komited untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza, sebagai tindak balas terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah berkenaan.









