SHAH ALAM, 1 MEI: Kerajaan sedang berusaha membebaskan 10 rakyat Malaysia yang ditahan Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 termasuk melalui saluran diplomasi dengan negara sahabat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan memanfaatkan semua ruang diplomatik, termasuk menghubungi rakan sejawat di negara Teluk dan Arab bagi mencari jalan untuk membebaskan mereka.
"Kita sekarang tengah ambil apa juga ikhtiar, hubungi sahabat-sahabat kita di negara Teluk, negara Arab untuk cari jalan lepaskan mereka (10 rakyat Malaysia ) daripada tahanan Israel.
"Saya hubungi Kementerian Luar dan juga hubungi negara sahabat (lain) yang boleh saya hubungi, saya akan hubungi Insya-Allah," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Iman, Rawang hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengecam tindakan Israel yang menahan peserta misi kemanusiaan di perairan antarabangsa, menyifatkannya sebagai melampau dan tidak menghormati prinsip undang-undang.
"Pertama, tentunya kita doakan keselamatan bukan saja buat rakyat Malaysia tapi rakyat yang terbabit dalam penahanan oleh rejim Zionis Israel. Kebanyakan mereka itu ditahan di perairan antarabangsa. Itu satu kerja gila yang tidak menghormati langsung prinsip.
"Kedua, yang selamat itu ada yang terpaksa beralih masuk ke lautan kawasan Greece dan di situ dijamin oleh kerajaan, tentera laut Greece. Ini bukan langgar kawasan Israel lagi kerana masih dalam kawasan (perairan) antarabangsa.
"Demikian kezaliman yang berterusan. Dia (Israel) tak puas hati dengan bunuh wanita dan kanak-kanak. Dia tak puas hati serang Iran, Lubnan, Gaza dan sekarang (tak puas dengan) orang-orang yang nak bantu bukan bawa senjata tapi makanan, minuman, ubat-ubatan dan beberapa kelengkapan (lain seperti) pakaian," katanya.
Beliau turut mengajak rakyat Malaysia untuk mendoakan keselamatan semua individu yang terlibat dalam misi berkenaan.
Setakat ini, lebih 30 jam selepas penahanan, nasib 10 rakyat Malaysia terbabit masih belum diketahui, manakala tiada perkembangan terkini mengenai 186 aktivis yang ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa semalam.
Kesemua mereka dipercayai menaiki lima kapal berbeza dalam misi tersebut, termasuk pengasas ZRA Strim, Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III.
Turut berada dalam senarai yang ditahan ialah Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Norhelmi Ab Ghani dan Hazwan Hazim Dermawan yang menaiki kapal Bianca BCN.
Selain itu, Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin menaiki kapal Eros 1 manakala Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai II), Mohd Redzal Amzah (Freia) dan Muhamad Muhsin Zaidi (Marea).
Semalam, Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan 10 rakyat Malaysia antara 186 peserta yang terputus hubungan pada hari ke-18 misi kemanusiaan GSF.
Sebanyak 22 daripada keseluruhan 63 kapal misi tersebut dipintas pihak berkuasa Israel di perairan Mediterranean berhampiran Kepulauan Crete, Greece.








