10 rakyat Malaysia dibebaskan Israel tekad teruskan pelayaran ke Gaza

4 Mei 2026, 1:30 AM
10 rakyat Malaysia dibebaskan Israel tekad teruskan pelayaran ke Gaza

SHAH ALAM, 4 MEI: Sepuluh rakyat Malaysia yang dibebaskan selepas diculik tentera Israel di perairan antarabangsa ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 memilih untuk meneruskan pelayaran ke Gaza.

Salah seorang daripada mereka yang juga bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad berkata, kumpulan itu kini berada di Istanbul sebelum menyambung semula perjalanan bagi meneruskan misi berkenaan.

“Kesemua 10 kami kembali dalam keadaan sihat walaupun menerima layanan buruk di atas kapal.

“Tetapi kami konsisten. Singgah di Istanbul bukan untuk kembali ke Kuala Lumpur tetapi meneruskan pelayaran dari Istanbul menuju ke Gaza,” katanya menerusi video yang dimuat naik di TikTok miliknya.

Beliau berkata, mereka berdepan pelbagai cabaran sepanjang tempoh penahanan, namun keadaan kesemua anggota kini stabil dan selamat.

Dalam masa sama, Zainal menegaskan pendirian kumpulan itu kekal konsisten dalam memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin serta usaha membebaskan Masjid Al-Aqsa.

Sebuah kapal Pengawal Pantai Greece memindahkan aktivis Global Sumud Flotilla, yang dipintas di perairan antarabangsa oleh Tentera Laut Israel, di pelabuhan Atherinolakkos di Pulau Crete, Greece, 1 Mei 2026. REUTERS/Stefanos Rapanis

“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersatu dalam mempertahankan kedaulatan serta menyokong usaha ini,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan Malaysia mengambil tindakan diplomatik segera, termasuk menghantar nota bantahan bagi menuntut pembebasan dua lagi aktivis yang masih ditahan, iaitu Saif Abukeshek dan Tiago Avila.

Menurutnya, Saif kini berdepan kemungkinan hukuman berat, manakala nasib Tiago masih menjadi teka-teki.

Terdahulu, Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan enam daripada 22 kapal yang dipintas dan diceroboh tentera Israel di perairan antarabangsa ketika dalam perjalanan ke Gaza melibatkan 10 rakyat Malaysia.

Selain Zainal yang menaiki kapal Arkham III, turut terlibat Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1), Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN).

Turut serta Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi masing-masing berada di atas kapal Freia dan Marea, serta Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai).

Namun kesemua mereka bersama 165 aktivis lain dibebaskan di Pelabuhan Lerapetra, Pulau Crete, Greece sebelum dipindahkan ke Lapangan Terbang Heraklion untuk dihantar pulang ke negara masing-masing.

Misi GSF 2.0 merupakan gabungan maritim antarabangsa dan gerakan mobilisasi global yang komited untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza sebagai respons terhadap krisis kemanusiaan di wilayah berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.