Pusat Data AI guna air kitar semula, bukan punca banjir

15 Mei 2026, 4:10 AM
Pusat Data AI guna air kitar semula, bukan punca banjir

SHAH ALAM, 15 MEI: Pusat data kecerdasan buatan (AI) di KL1 Kuala Lumpur oleh NEXTDC tidak akan menyebabkan gangguan banjir kerana menggunakan sistem penyejukan air kitar semula dalam sistem gelung tertutup.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dakwaan bahawa pusat data menjadi punca banjir di sekitar Petaling Jaya adalah tidak berasas kerana fasiliti tersebut beroperasi menggunakan sistem penyejukan berasaskan air kitar semula, lapor Berita Harian.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan pusat data itu beroperasi dengan teknologi penyejukan 'liquid direct-to-chip' melalui sistem gelung tertutup, sekali gus tidak bergantung kepada penggunaan air baharu secara berterusan.

"Pusat data moden tidak menggunakan air secara berlebihan seperti tanggapan umum, sebaliknya mengamalkan sistem kitar semula.

“Di Selangor, kita turut melaksanakan dasar 'Zero Discharge' yang menggalakkan sistem kitar semula dalam operasi industri," katanya.

Amirudin menambah, 80 peratus air yang digunakan dalam pusat data boleh dikitar semula untuk operasi penyejukan semula.

Terdahulu, Amirudin hadir bersama Menteri Digital, Gobind Singh Deo bagi merasmikan pusat data AI KL1 Kuala Lumpur oleh NEXTDC, yang dibangunkan khusus untuk menyokong pertumbuhan pesat kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan perkhidmatan digital di rantau ini.

NEXTDC merupakan penyedia infrastruktur digital dari Australia dan KL1 merupakan pusat data sedia AI pertamanya di Asia Tenggara bernilai RM2.8 bilion.

Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin memberitahu siasatan Kerajaan Negeri mendapati punca utama banjir di kawasan Petaling Jaya adalah kelemahan sistem saliran lama yang memerlukan penambahbaikan segera.

Susulan itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah diarahkan menaik taraf sistem perparitan bagi melancarkan aliran air ketika hujan lebat.

“Kerajaan Negeri juga sedang memperkukuh bekalan air dengan margin simpanan sekitar 18 peratus ketika ini, selain pembangunan Loji Rawatan Air Rasau yang dijangka siap hujung tahun ini dengan kapasiti 350 juta liter sehari," ujarnya.

Menjelang 2027, kapasiti itu dijangka meningkat kepada 700 juta liter sehari, sebelum menjadi loji rawatan air terbesar di Asia Tenggara menjelang 2029 dengan kapasiti 1,400 juta liter sehari.

Sebelum ini, pembinaan tembok banjir di kawasan kritikal Sungai Penchala serta pemasangan sistem Kawalan Limpahan Sungai (SKaLiS) oleh MBPJ merupakan antara langkah mitigasi bagi mengelakkan banjir kilat berulang di kawasan sekitar termasuk Medan Selera 223 dan Jalan 223.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.