SHAH ALAM, 8 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bersama KDEB Waste Management (KDEBWM) mempergiat operasi pembersihan pascabanjir di beberapa kawasan terjejas susulan hujan lebat dan banjir kilat yang melanda Petaling Jaya pada 6 Mei lalu.
MBPJ memaklumkan operasi itu meliputi kerja pembersihan lumpur, sisa banjir dan dahan pokok, selain membersihkan longkang serta laluan awam bagi memastikan persekitaran kembali bersih dan selamat untuk penduduk.
“Kerja pembersihan turut meliputi penyelenggaraan sistem saliran termasuk saluran limpah (scupper drain) dan longkang utama air hujan (monsoon drain) di kawasan terjejas.
“Selain itu, KDEBWM turut menggerakkan lori Roll-On Roll-Off (RORO) serta tenaga kerja tambahan bagi mempercepat proses pemulihan di kawasan hotspot yang terjejas akibat banjir,” kata MBPJ menerusi kenyataan.
MBPJ berkata pihaknya akan terus memantau pelaksanaan operasi dari semasa ke semasa selain bekerjasama rapat dengan KDEBWM serta agensi berkaitan bagi memastikan tindakan susulan dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Pada masa sama, penduduk turut disaran memberi kerjasama dengan meletakkan sisa pukal di lokasi yang sesuai bagi memudahkan urusan kutipan dan kerja-kerja pembersihan dijalankan.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, MBPJ komited memastikan aspek kebersihan bandar dan kesejahteraan warga sentiasa menjadi keutamaan terutama ketika berdepan situasi bencana serta cuaca tidak menentu.
Terdahulu pada 6 Mei, MBPJ memaklumkan beberapa kejadian bencana termasuk banjir kilat, pokok tumbang dan tanah runtuh berlaku susulan hujan lebat berterusan di sekitar Petaling Jaya.
Antara kawasan terjejas banjir kilat ialah Medan Selera 223, PJS 2/3, PJS 4/21B, PJS 6, Jalan 17/21H serta Taman Buana Perdana, sebelum semua lokasi berkenaan dilaporkan surut sepenuhnya pada jam 8.43 malam.
Susulan itu, MBPJ melalui Skuad Pantas bersama unit teknikal telah digerakkan bagi melaksanakan kerja pembersihan, pemantauan berterusan serta pengurusan risiko di semua lokasi terlibat bagi memastikan keadaan kembali selamat dan terkawal.











