SHAH ALAM, 7 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan pembinaan infrastruktur tebatan banjir termasuk tembok banjir di sepanjang kawasan kritikal Sungai Penchala sebagai langkah jangka panjang mengurangkan risiko banjir berulang.
MBPJ memaklumkan antara inisiatif lain ialah pelaksanaan inovasi saliran menerusi pemasangan Sistem Kawalan Limpahan Sungai (SKaLiS) di setiap outlet parit utama serta pemasangan flapgate pada outlet kecil yang mengalir ke Sungai Klang.
“SKaLiS dipasang di setiap outlet parit utama serta pemasangan flapgate pada outlet kecil yang menuju ke Sungai Klang. Pelepasan air di setiap premis tidak disalurkan secara terus ke dalam sungai,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut MBPJ, pihaknya memandang serius kejadian banjir kilat yang menjejaskan beberapa kawasan di bawah pentadbirannya susulan hujan lebat semalam.
Hasil pemantauan mendapati kejadian itu berpunca daripada taburan hujan sangat tinggi bermula dari kawasan hulu di Kuala Lumpur dengan bacaan melebihi 60 milimeter (mm) dalam tempoh singkat, yang diklasifikasikan sebagai hujan sangat lebat.
“Situasi ini menyebabkan Sungai Penchala gagal menampung isipadu aliran air yang luar biasa, ditambah fenomena aliran balik (backflow) dari Sungai Klang yang telah mencapai kapasiti maksimum, sekali gus menjejaskan keupayaan sistem saliran bandar,” katanya.
MBPJ berkata kawasan terjejas termasuk sepanjang koridor Sungai Penchala di Seksyen 51, 17 dan 19 serta kawasan berhampiran Sungai Klang melibatkan Taman Medan, Sri Manja dan Buana Perdana.
Susulan kejadian itu, skuad PANTAS telah digerakkan serta-merta bagi membantu kawalan trafik dan penutupan jalan kritikal demi keselamatan pengguna.
Bagi fasa pascabanjir, kerja pembersihan sisa banjir turut dilaksanakan oleh KDEB Waste Management di bawah kawasan seliaan MBPJ.
MBPJ dalam masa sama turut menambah baik sistem komunikasi dengan mewujudkan saluran WhatsApp bersama komuniti setempat termasuk wakil peniaga Jalan 223 bagi perkongsian maklumat paras air Sungai Penchala secara masa nyata.
“MBPJ juga telah mewujudkan saluran komunikasi dua hala melalui aplikasi WhatsApp bersama komuniti setempat… bagi penyaluran maklumat paras air Sungai Penchala secara waktu nyata,” katanya.
Orang awam turut dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap amaran cuaca semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Semalam, MBPJ memaklumkan beberapa kejadian banjir kilat, pokok tumbang dan tanah runtuh berlaku susulan hujan lebat berterusan di sekitar bandar raya itu, namun semua lokasi terjejas dilaporkan surut sepenuhnya pada jam 8.43 malam.








