Sungai Penchala tidak mampu tampung aliran air dari KL, Sungai Klang

12 Mei 2026, 1:34 PM
Sungai Penchala tidak mampu tampung aliran air dari KL, Sungai Klang
Sungai Penchala tidak mampu tampung aliran air dari KL, Sungai Klang
Sungai Penchala tidak mampu tampung aliran air dari KL, Sungai Klang

SHAH ALAM, 12 MEI: Pembangunan pusat data NEXTDC Kuala Lumpur Data Centre (KL1) di Petaling Jaya bukan punca kejadian banjir di kawasan Jalan 223 dan Medan Selera Seksyen 223, kata Penyelaras DUN Taman Medan Halimey Abu Bakar.

Beliau berkata hasil lawatan bersama beberapa agensi berkaitan mendapati kejadian banjir itu berpunca daripada ketidakmampuan Sungai Penchala menampung aliran air dari Kuala Lumpur dan Sungai Klang.

Menurutnya, lawatan tersebut turut disertai EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Semalam saya bersama dengan YB Izham, MBPJ, JPS dan JKR melawat di situ. Punca Medan Selera 223 dan kawasan Jalan 223 banjir tak ada kena-mengena dengan kawasan data centre itu. Bukan kerana pembuangan air di situ,” katanya ketika dihubungi.

Halimey berkata limpahan air dari Sungai Penchala yang menerima aliran dari Kuala Lumpur menjadi antara faktor utama menyebabkan kawasan terbabit dilanda banjir.

“Ini daripada Sungai Penchala, air dari Kuala Lumpur melalui sungai itu dan juga kerana ketidakmampuan menampung air Sungai Klang,” katanya lagi.

Beliau turut menafikan dakwaan mengaitkan pembangunan pusat data sebagai punca kejadian banjir dan masalah kekurangan air di Selangor.

“Saya yakin dan percaya daripada apa yang saya dengar dan komen mengatakan inilah penyebab banjir dan Selangor sekarang makin berkurangan air, saya tak fikir itu sebabnya,” katanya.

Tambah beliau, setakat ini tiada aduan rasmi diterima daripada penduduk berkaitan operasi pusat data di kawasan terbabit.

Halimey menjelaskan pembinaan pusat data itu juga mematuhi zon guna tanah sedia ada yang telah dikhususkan untuk pembangunan perindustrian.

“Kawasan yang dibina ini memang di bawah zon perindustrian, bukan zon perumahan,” katanya.

Beliau berkata pembangunan pusat data berkenaan turut menjadi tarikan kepada pelabur seperti pembangunan pusat data lain di Cyberjaya selain memberi nilai tambah kepada sektor teknologi dan pelaburan negeri.

Dalam pada itu, Halimey meminta orang ramai yang mempunyai sebarang masalah berkaitan operasi pusat data supaya membuat laporan rasmi kepada MBPJ bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

“Kalau betul ada masalah, tolong buat laporan kepada MBPJ dan pihak majlis akan ambil tindakan kepada pusat data itu,” tegasnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.