Orang ramai dijemput memeriahkan Sambutan Hari Wesak Peringkat Selangor 2026

12 Mei 2026, 8:47 AM
Orang ramai dijemput memeriahkan Sambutan Hari Wesak Peringkat Selangor 2026

SHAH ALAM, 12 MEI: Orang ramai dipelawa memeriahkan Sambutan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Jun ini di Sugata Dharma Vihara, Jenjarom.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata sambutan tahun ini mengetengahkan tema keterhubungan digital dan perkongsian kebijaksanaan bagi memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor.

Menurut beliau, program berkenaan turut menjadi antara pengisian utama sempena Tahun Melawat Selangor 2026 yang memberi fokus kepada pembangunan pelancongan budaya dan spiritual di negeri ini.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik disusun sepanjang sambutan bagi memberi pengalaman bermakna kepada pengunjung termasuk pameran khas berkaitan kehidupan Buddha serta sesi pemberkatan dan nyanyian sutra.

“Program ini akan dilancarkan oleh Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 6 Jun,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Sze Han berkata acara istimewa yang bakal menjadi tumpuan ialah upacara mandi Buddha bersejarah membabitkan 666 patung Putera Siddhartha sempena tarikh 6 Jun 2026.

Beliau menjelaskan sambutan tersebut bukan sahaja mengangkat nilai keagamaan dan budaya masyarakat Buddha, malah menjadi platform memperkenalkan Selangor sebagai destinasi pelancongan harmoni dan inklusif.

Selain itu, pengunjung turut berpeluang menyertai aktiviti penyalinan sutra dan bengkel kraftangan seperti cetakan blok kayu serta seni daun Bodhi.

Program berkenaan turut menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma melibatkan ujian kepadatan tulang, kolesterol dan saringan kesihatan asas untuk orang ramai.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.