EXCO: Tiada lagi ‘Plus One’, kini ‘Selangor Plus Everywhere’

8 Mei 2026, 1:47 AM
EXCO: Tiada lagi ‘Plus One’, kini ‘Selangor Plus Everywhere’
EXCO: Tiada lagi ‘Plus One’, kini ‘Selangor Plus Everywhere’
EXCO: Tiada lagi ‘Plus One’, kini ‘Selangor Plus Everywhere’

KUALA LUMPUR, 8 MEI:  Kerajaan Selangor mengguna pakai strategi “Selangor Plus Everywhere” sebagai sebahagian usaha memperkukuh kedudukan ekonomi negeri serta membina kerjasama strategik yang memberi manfaat bersama negara di seluruh dunia.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata Selangor berada pada kedudukan unik sebagai hab ekonomi neutral dan strategik, khususnya dalam rantaian bekalan semikonduktor global, sekali gus menjadikannya rakan kerjasama menarik di peringkat antarabangsa.

“Menerusi inisiatif baharu ‘Selangor Plus Everywhere’, negeri ini menyasarkan pembinaan rangkaian kerjasama industri antarabangsa yang lebih meluas melalui kolaborasi strategik dengan pasaran utama dunia termasuk Amerika Syarikat, Eropah, China, Jepun dan Brazil,” katanya.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze (tegah) bersama peserta ASEM x ChampionChip eXperience Event (Malaysia Edition) Announcement di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 7 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ASEMxChampionCHIP eXperience di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, semalam.

Ng menyifatkan inisiatif itu sebagai pelan yang dirangka untuk memperkukuh kerjasamai teknologi serta mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

Menerusi hantaran di Instagram pada Rabu lepas, beliau berkata Selangor kini melangkaui strategi tradisional “Plus One”, iaitu pendekatan yang meletakkan sekurang-kurangnya satu lokasi asing dalam rantaian bekalan ekonomi, kepada konsep “Selangor Plus Everywhere” yang menandakan kewujudan pangkalan di pelbagai lokasi lain.

“‘Selangor Plus Everywhere’ bermaksud membina kerjasama mendalam dan saling menguntungkan antara Selangor dengan ekonomi dunia, sekali gus memupuk hubungan lebih kukuh, pertumbuhan bersama dan kerjasama menang-menang,” katanya.

Pada majlis sama, Ng berkata sektor teknologi global kini sedang melalui perubahan struktur besar didorong kecerdasan buatan (AI), pembuatan termaju dan perubahan geopolitik, yang meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Cabaran terbesar industri semikonduktor ketika ini bukan lagi bekalan silikon atau kuasa pengkomputeran, tetapi kekurangan modal insan berkemahiran.

“Ketika industri ini menyusun semula landskap geopolitiknya, masa depan akan memihak kepada negara yang mampu membangunkan saluran bakat tempatan yang kukuh dan berdaya tahan,” katanya.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze merasmikan ASEM x ChampionChip eXperience Event (Malaysia Edition) Announcement di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 7 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Ng turut menyorot perkembangan pesat Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) di Puchong yang kini menempatkan 15 syarikat reka bentuk IC serta 311 jurutera cip.

“Ini membuktikan keupayaan Selangor menarik pelaburan global bernilai tinggi sambil membangunkan keupayaan semikonduktor tempatan dalam rantaian nilai antarabangsa,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.