Krisis tenaga global: Selangor libat urus industri kenal pasti keperluan bantuan bersasar

8 Mei 2026, 1:36 AM
Krisis tenaga global: Selangor libat urus industri kenal pasti keperluan bantuan bersasar
Krisis tenaga global: Selangor libat urus industri kenal pasti keperluan bantuan bersasar

KUALA LUMPUR, 8 MEI:  Selangor mula mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri yang terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi global, dengan maklum balas daripada perbincangan itu akan digunakan bagi merangka cadangan pakej bantuan bersasar kepada kerajaan Persekutuan dan negeri.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata agensi di bawah portfolionya termasuk Invest Selangor Bhd dan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) telah memulakan sesi meja bulat bersama pelbagai sektor industri.

“Libat urus ini bertujuan mendapatkan maklum balas secara langsung daripada industri mengenai potensi kesan negatif yang sedang dihadapi perniagaan dan sektor ekonomi ketika ini,” katanya kepada Media Selangor selepas pelancaran program latihan bakat ASEMxChampionChip eXperience di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini semalam.

State executive councillor for investment, trade and mobility Ng Sze Han speaks at the ASEMxChampionChip eXperience talent training event launch at the Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) in Kuala Lumpur on May 7, 2026. — Picture by FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Ng berkata satu lagi siri perbincangan akan diadakan minggu depan bersama dewan perniagaan dan perdagangan anjuran Invest Selangor, selain bantuan yang dicadangkan berkemungkinan melibatkan pakej rangsangan khas mengikut keperluan industri..

Beliau turut berharap lebih banyak pihak industri menyertai sesi libat urus berkenaan bagi memastikan cadangan yang dikemukakan lebih menyeluruh dan tepat sasaran.

“Kita mahu lebih ramai pihak terlibat dalam perbincangan ini supaya lebih banyak input dan cadangan dapat dikumpulkan untuk kerajaan negeri,” katanya.

Bagaimanapun, Ng tidak memaklumkan tarikh pengumuman pakej rangsangan baharu itu.

Pada 20 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri menerusi Invest Selangor akan mengadakan libat urus bersama pemain industri utama termasuk sektor perkhidmatan dan pembinaan bagi menilai bentuk sokongan yang diperlukan dalam menghadapi cabaran global semasa.

Beliau berkata hasil dapatan daripada sesi itu akan dimasukkan dalam Fasa 2 Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor.

Pada 16 April lalu, Amirudin mengumumkan Fasa 1 pakej berjumlah RM131 juta itu bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negeri susulan ketidaktentuan global.

Inisiatif di bawah pakej tersebut akan dilaksanakan mulai bulan depan dengan fokus membantu perusahaan kecil serta rakyat berdepan kesan konflik Asia Barat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.