SHAH ALAM, 11 MEI: Selangor akan menganjurkan sambutan Hari Wesak di Kuil Sugata Dharma Vihara, Jenjarom, Kuala Langat bermula 5 hingga 7 Jun ini.
Program itu bertujuan memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum selain mempromosi pelancongan budaya sempena Tahun Melawat Selangor 2026 (TMS2026).
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata sambutan tahunan yang dianjurkan sejak 2009 itu membawa tema ‘Bridging Through Digital, Cultivating Wisdom Together’.
Program berkenaan dianjurkan bersama Kuil Sugata Dharma Vihara dengan kerjasama Majlis Perundingan Buddha Malaysia serta sokongan Persatuan Buddha Malaysia cawangan Kuala Lumpur/Selangor dan Persatuan Buddha Maha Karuna.
“Matlamat utama kami adalah untuk mempromosi nilai sosial positif serta pengamalan Dharma dalam kehidupan seharian,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.
Beliau berkata kemudahan pengangkutan seperti perkhidmatan buggy akan disediakan dari kawasan parkir berhampiran bagi memudahkan pengunjung selain mengingatkan masyarakat mengenai makna sebenar sambutan Wesak.
“Ia bertujuan membawa masyarakat kembali memahami signifikan utama Wesak iaitu ‘Triple Celebration’ yang memperingati kelahiran, pencerahan dan Parinirvana Buddha sekali gus meningkatkan kefahaman tepat terhadap ajaran itu,” katanya.
Sze Han berkata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual merasmikan sambutan berkenaan.
Katanya, antara tarikan utama sambutan tahun ini ialah tarikh unik 6 Jun 2026.
“Bersempena tiga angka enam itu, sebanyak 666 patung Putera Siddhartha akan dihimpunkan untuk upacara mandian Buddha terbuka kepada orang ramai,” katanya.
Program itu dijangka menarik kira-kira 5,000 pengunjung dan menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan, kerohanian serta kesejahteraan mesra keluarga selain menyediakan hidangan vegetarian.
Antara acara diatur termasuk sesi pemberkatan dan bacaan mantera oleh sami Mahayana dan Theravada, aktiviti menyalin sutra, roda doa, bengkel kraf serta pameran termasuk Pameran Setem Buddha oleh World Buddhist Stamps Gallery.
Turut diadakan pameran fotografi, pertandingan seni kanak-kanak dan pemeriksaan kesihatan percuma meliputi kepadatan tulang, kolesterol, lemak badan serta jisim otot.
Sambutan itu akan berlangsung di Sugata Dharma Vihara, Bandar Saujana Putra, Jenjarom dari jam 3 petang hingga 9 malam pada 5 Jun, 8 pagi hingga 9 malam pada 6 Jun dan 9 pagi hingga 3 petang pada 7 Jun.








