SHAH ALAM, 7 MEI: Selepas sate Kajang dan nasi ambeng, beberapa lagi juadah lain yang terkenal di Selangor akan diwartakan sebagai makanan warisan negeri, maklum EXCO kebudayaan.
Makanan tersebut antaranya punten, tat Bengkulu, sambal tahun, kuih tradisional beppa pute dan burasak berserta rendang sebagai identiti Selangor, jelas Datuk Borhan Aman Shah.

Beliau berkata proses pewartawaan tersebut mengambil masa berikutan ia perlu dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor selain penganjuran bengkel.
“Selepas itu, kita perlu berurusan dengan Malaysia Book of Records untuk pastikan makanan ini tidak diwartakan lagi. Perlu ada penyelidikan teliti termasuk dengan pengusaha makanan warisan,” katanya kepada Media Selangor.
Pada Ogos tahun lalu, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan mengisytiharkan sate Kajang sebagai makanan warisan negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pula mengisytihar dan mewartakan nasi ambeng, iaitu menu tradisi masyarakat Jawa sebagai makanan warisan Selangor pada November 2022.
Dalam pada itu, Borhan memaklumkan festival makanan warisan akan diteruskan tahun ini di Sabak Bernam atau Hulu Selangor dalam memelihara dan memperkasa juadah tradisional negeri.
Pada masa sama, beliau turut menggalakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memainkan peranan mengetengahkan makanan tradisional setempat kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Penganjuran festival ini tidak boleh diperkasakan hanya dengan usaha Kerajaan Negeri sahaja tetapi perlu kerjasama PBT, agensi dan komuniti setempat,” katanya.











