SHAH ALAM - Sektor gastronomi terus diberi perhatian sebagai medium penting dalam memelihara warisan dan memperkukuh jati diri negeri, jelas EXCO kebudayaan.
Menurut Datuk Borhan Aman Shah, usaha mengangkat gastronomi bukan sekadar tertumpu kepada makanan, sebaliknya sebagai penghubung tradisi yang mencerminkan identiti masyarakat.
Beliau menambah makanan warisan memainkan peranan besar dalam membentuk keunikan negeri dan perlu terus dipelihara agar tidak hilang ditelan arus pembangunan.

"Gastronomi bukan sekadar makanan tetapi sebahagian daripada pembangunan identiti Selangor yang memberi nilai tambah kepada ekonomi dan memperkukuh jati diri negeri.
"Apabila makanan warisan ini terpelihara dan menjadi peng-hubung antara pelancongan serta ekonomi, Kerajaan Negeri juga mahu ia diwarisi generasi akan datang," katanya kepada Media Selangor.
Dalam masa sama, Borhan turut menekankan kepentingan memperkenalkan makanan warisan kepada generasi muda bagi memastikan kelangsungannya pada masa hadapan.
Katanya, golongan muda perlu berperanan sebagai pewaris dengan meneruskan legasi tersebut, termasuk mengadaptasi pendekatan baharu tanpa menghilangkan nilai tradisi.
“Kerajaan Negeri bertanggungjawab mengenal pasti dan mempopularkan makanan warisan. Selain kita perkenal melalui penganjuran festival, anak muda juga perlu didedahkan cara-cara pembuatannya.
"Penganjuran bengkel sebelum ini sebahagian usaha memartabatkan warisan. Tidak mengapa jika generasi muda meneruskan perniagaan keluarga bagi memastikan warisan terus kekal," jelasnya lagi.







