Selangor mahu jadi hab gastronomi

7 Mei 2026, 2:00 AM
Selangor mahu jadi hab gastronomi
Selangor mahu jadi hab gastronomi

SHAH ALAM, 7 MEI: Selangor menyasarkan sektor gastronomi sebagai antara industri utama dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan matlamat memperkukuh peranannya dalam ekonomi kreatif negeri.

EXCO Keusahawanan Najwan Halimi berkata subsektor pelancongan itu berpotensi besar untuk diperkasa sehingga mampu meletakkan Selangor setaraf hab gastronomi terkenal di Malaysia.

Menurutnya, negeri itu berhasrat meraih pengiktirafan sebagai Bandar Kreatif Gastronomi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), seperti yang dicapai Kuching pada 2021, sekali gus menjana nilai ekonomi yang signifikan.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi pada sidang media ketika Persidangan Penggal Keempat Kali Ke-15 Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 27 April 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

"Fokus utama adalah penciptaan peluang pekerjaan, menambah sumbangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri selain menjadikan Selangor sebagai destinasi kuliner yang mampu menarik pelancong dan pelabur," jelasnya.

Pada masa sama, beliau berkata sokongan terhadap sektor gastronomi diperhebat melalui penyediaan pelbagai geran dan inisiatif bagi merancakkan pertumbuhan industri berkenaan.

Jelasnya, pelbagai usaha pendedahan pasaran dibuat ketika ini menerusi Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor, promosi digital, program Jelajah Rentak Selangor serta kerjasama agensi negeri.

Tambah Najwan lagi, inisiatif seperti geran kreatif, latihan pemasaran, kursus keusahawanan dan peluang pameran juga boleh dimanfaatkan penggiat industri makanan.

"Kita akan memperbanyak lagi geran dan bantuan untuk sektor ini di masa hadapan dengan memperkukuh kerjasama beberapa agensi, industri dan komuniti seperti program kolaboratif dan festival budaya.

"(Selain itu), memperkukuh jaringan industri dan platform promosi bersama, mengumpulkan pemain industri bawah satu agenda ekonomi kreatif supaya input dari akar umbi sampai ke peringkat strategik rancangan ekonomi negeri," katanya lagi.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama dengan portfolio kebudayaan dalam mengangkat gastronomi sebagai identiti negeri, sekali gus memperluas capaiannya ke peringkat antarabangsa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.