Henti dakwa-dakwi hak milik makanan warisan

7 Mei 2026, 7:00 AM
Henti dakwa-dakwi hak milik makanan warisan

HULU LANGAT, 7 MEI: Budaya dakwa-dakwi hak milik makanan yang berlarutan antara Malaysia dan Indonesia membuang masa, kata pengerusi Seminar Gastronomi Kebangsaan (SEGEMUK) kali ketiga.

Dr Mohd Faizal Musa menempelak perbuatan tersebut sebaliknya menegaskan masyarakat kedua-dua negara serumpun itu perlu mengiktiraf warisan kulinari sebagai khazanah budaya bersama.

“Budaya ‘claim-claim’ (dakwa-dakwi) ini sesuatu yang membuang masa. Kita sebenarnya berkongsi khazanah budaya bersama atau dalam istilah sosiologi disebut sebagai cultural commons.

“Macam rendang hak milik siapa contohnya? Malaysia atau Indonesia? Ini perkara buang masa. Ia tidak seharusnya berpanjangan kerana kedua-dua negara berkongsi akar budaya yang sama,” katanya kepada Media Selangor.

Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Faisal Tehrani) ketika berucap pada Seminar Gastronomi Kebangsaan kali ketiga (SEGEMUK III) di Pusat Konvensyen Bangi Avenue, Hulu Langat pada 6 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Justeru, beliau yang juga Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata SEGEMUK turut menampilkan pembentang Indonesia.

Beliau yang turut dikenali sebagai Faisal Tehrani memberitahu langkah itu bertujuan merapatkan kefahaman mengenai warisan makanan serumpun yang berkongsi banyak persamaan.

Dr Mohd Faizal juga menjelaskan kaedah penyediaan dan ciri-ciri makanan tersebut sering menunjukkan persamaan yang ketara meskipun sesetengah hidangan menggunakan nama berbeza.

“Kita rai kehadiran mereka kerana kita mahu memahami bahawa makanan Malaysia dan Indonesia berasal daripada rantau yang sama. Kita berdepan cabaran sama dalam usaha melestari dan memulihara warisan makanan ini,” katanya lagi.

Beliau berkata SEGEMUK wadah penting yang menghimpunkan ahli gastronomi, pengamal industri kulinari dan sarjana bidang berkaitan untuk berbincang isu pemuliharaan makanan warisan.

“Untuk seminar kali keempat, kita akan menjemput lebih ramai pembentang daripad luar negara. Kita mahu meluaskan cakupan perbincangan ini dan menunjukkan gastronomi serumpun ini penting supaya kita tidak lagi berbalah,” katanya.

Pengasas dan pemilik perniagaan Chef Kecik Mohd Rahmat Bahaudin menerima cenderahati ketika Seminar Segemuk 3 Gastronomi Kebangsaan d Pusat Konvensyen Bangi Avenue, Hulu Langat pada 6 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Lebih 30 pembentang termasuk 14 daripada luar negara hadir program sehari di Pusat Konvensyen Bangi Avenue yang disertai lebih 200 peserta termasuk ahli akademik dan penggiat industri gastronomi.

Dengan kerjasama Media Selangor, seminar bertema Juadah Asli VS Lakuran, SEGEMUK III fokus kepada kajian gastronomi alam Melayu yang merangkumi pelbagai disiplin seperti bahasa, budaya, psikologi, sastera dan arkeologi.

Diterajui Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, pengucap utama ialah pempengaruh terkenal bidang masakan iaitu Chef Kecik juga pemilik restoran terkenal Chef Kecik.

Pertikaian paling hangat berkaitan rendang yang dinobatkan CNN Travel sebagai makanan paling enak berdasar tinjauan pembaca pada tahun 2011 dan 2017.

Cendol yang menjadi juadah pemanis paling sedap pada 2018 pula direbut penduduk kedua-dua negara dan Singapura. Perbalahan mengenai popia atau lunpia dalam bahasa Indonesia pula membawa kepada protes di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada 2015.

Tempe yang popular dalam kalangan masyarakat Jawa pula dianggap isu paling sensitif ekoran Indonesia menamakan masakan itu kepada UNESCO untuk disenarai sebagai warisan budaya. Makanan lain yang menjadi pertikaian ialah nasi goreng, sate dan popia.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.