HULU LANGAT, 6 MEI: Seminar Gastronomi Kebangsaan kali ketiga (SEGEMUK III) bukan sekadar platform perkongsian ilmu, malah membuka ruang kepada pengusaha makanan memperkukuh produk mengikut kehendak pasaran semasa.
Pempengaruh masakan terkenal, Chef Kecik atau Mohd Rahmat Bahaudin berkata hasil kajian yang dibentangkan membantu pemain industri menghasilkan produk lebih berkualiti sekali gus memberi manfaat kepada ekonomi dan masyarakat.
“Perkongsian daripada para ilmuwan ini sangat dialu-alukan. Perkongsian dan perbentangan ini juga dapat memajukan diri pemain industri dan lebih penting beri kesan kepada masyarakat dan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena SEGEMUK III yang berlangsung di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) di sini hari ini.
Seminar yang menghimpunkan lebih 30 pembentang dari dalam dan luar negara itu turut melibatkan penyertaan akademik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Program berkenaan dianjurkan bagi memperkukuh penyelidikan serta mengangkat martabat makanan warisan tempatan menerusi gabungan perspektif akademik dan industri.
Bertemakan Juadah Asli VS Lakuran, SEGEMUK III memberi tumpuan kepada kajian gastronomi alam Melayu yang merangkumi pelbagai disiplin termasuk bahasa, budaya, psikologi, sastera dan arkeologi.

Sebelum ini, Pengerusi seminar Dr Faisal Tehrani berkata Chef Kecik dipilih sebagai pengucap utama kerana peranannya menghubungkan bidang akademik dan industri makanan dalam usaha memartabatkan gastronomi Melayu.
Menurutnya, Chef Kecik yang memiliki latar belakang dalam bidang sains pemakanan turut membawa perspektif baharu terhadap evolusi makanan Melayu moden tanpa mengabaikan identiti asalnya.








