Budaya pemakanan bukan sekadar halal

8 Mei 2026, 3:00 AM
Budaya pemakanan bukan sekadar halal

Budaya pemakanan dalam Islam sering disalahfahami sebagai sekadar persoalan halal dan haram.

Hakikatnya, Islam membina satu kerangka yang jauh lebih luas merangkumi nilai, etika, hukum serta tujuan syariah (maqasid) yang menyentuh keseimbangan antara jasmani, rohani dan kehidupan sosial.

Dalam kerangka ini, pemakanan bukan hanya untuk mengenyangkan perut, tetapi juga membentuk disiplin diri, kesihatan, bahkan identiti umat.

Al-Quran meletakkan asas yang jelas tentang pemakanan melalui firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 168:

“Wahai manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik (tayyib).”

Ayat ini mengandungi dua konsep penting yang menjadi teras budaya pemakanan Islam. Pertama, 'halal', iaitu sesuatu yang dibenarkan dari sudut hukum. Kedua, 'tayyib', iaitu sesuatu yang baik, bersih, bermanfaat dan tidak memudaratkan.

Gabungan kedua-dua konsep ini menunjukkan Islam tidak cukup sekadar membenarkan sesuatu makanan, tetapi juga memastikan ia memberi manfaat kepada tubuh dan kehidupan manusia.

Dalam konteks ini, makanan yang halal tetapi memudaratkan kesihatan atau diambil secara berlebihan tidak lagi memenuhi tuntutan 'tayyib'.

Justeru, Islam membina budaya makan yang seimbang, bukan ekstrem, tidak terlalu ketat hingga menyempitkan, dan tidak terlalu bebas hingga merosakkan.

Peranan Sunnah Nabi Muhammad SAW pula memperincikan lagi budaya pemakanan ini. Baginda bukan sahaja menyampaikan hukum, tetapi membentuk adab dan akhlak dalam makan.

Antara prinsip utama yang ditekankan ialah kesederhanaan.

Dalam satu hadis riwayat al-Tirmizi, Baginda bersabda bahawa tiada bekas yang lebih buruk dipenuhi oleh manusia selain perutnya. Hadis ini memberi peringatan bahawa makan berlebihan bukan sahaja memudaratkan kesihatan, bahkan mencerminkan kegagalan mengawal nafsu.

Selain itu, Rasulullah SAW mengajar adab makan seperti membaca basmalah, makan dengan tangan kanan, dan tidak mencela makanan. Sikap tidak mencela makanan ini sangat signifikan kerana ia membentuk rasa syukur dan menghormati rezeki.

Dalam budaya moden yang sering memilih makanan berdasarkan selera semata-mata, adab ini menjadi peringatan bahawa makanan juga berkait dengan nilai spiritual.

Salah satu contoh penting yang menunjukkan fleksibiliti Islam dalam budaya pemakanan ialah kisah dhab, iaitu sejenis biawak padang pasir. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW tidak memakan dhab.

Apabila ditanya oleh para sahabat sama ada ia haram, Baginda menjelaskan bahawa ia tidak haram, tetapi Baginda tidak memakannya kerana tidak biasa dengannya. Dalam riwayat yang sama, sahabat seperti Khalid ibn al-Walid memakan dhab di hadapan Nabi, dan Baginda tidak melarangnya.

Kisah ini membawa beberapa pengajaran penting. Pertama, Islam membezakan antara hukum dan selera. Apa yang tidak dimakan oleh Nabi tidak semestinya haram.

Kedua, faktor geografi memainkan peranan dalam budaya pemakanan. Dhab merupakan makanan biasa di kawasan tertentu seperti Najd, tetapi tidak di Mekah atau Madinah. Ini menunjukkan bahawa makanan sangat dipengaruhi oleh persekitaran dan budaya setempat.

Ketiga, Islam meraikan kepelbagaian makanan dan tidak memaksa satu bentuk budaya makan kepada semua masyarakat.

Budaya setempat

Dari sudut Usul Fiqh, terdapat kaedah penting yang mengukuhkan fleksibiliti ini, iaitu 'asal sesuatu perkara adalah harus' (al-aslu fil asyya’ al-ibahah).

Kaedah ini bermaksud semua jenis makanan pada asalnya dibenarkan selagi tiada dalil yang mengharamkannya. Ini membuka ruang yang luas kepada masyarakat untuk menikmati pelbagai jenis makanan mengikut budaya masing-masing.

Selain itu, konsep ‘urf atau adat setempat turut diiktiraf dalam Islam. Makanan yang menjadi kebiasaan sesuatu masyarakat diterima selagi tidak bercanggah dengan syariat. Dalam masa yang sama, Islam menetapkan prinsip menolak kemudaratan.

Jika sesuatu makanan terbukti memudaratkan kesihatan atau membawa kesan buruk, ia boleh dihukumkan sebagai makruh atau haram. Ini menunjukkan bahawa hukum pemakanan dalam Islam tidak statik, tetapi mengambil kira perkembangan ilmu dan realiti semasa.

Dalam kerangka maqasid syariah, pemakanan berkait rapat dengan beberapa tujuan utama syariah. Antaranya ialah menjaga nyawa (hifz al-nafs), yang menuntut makanan yang selamat dan sihat. Menjaga akal (hifz al-‘aql) pula menjelaskan pengharaman arak dan bahan yang merosakkan minda.

Menjaga agama (hifz al-din) memastikan umat Islam mematuhi hukum halal sebagai satu bentuk ketaatan. Manakala menjaga harta (hifz al-mal) melarang pembaziran makanan yang menjadi isu besar dalam masyarakat hari ini.

Daripada semua ini, dapat difahami bahawa budaya pemakanan dalam Islam terbahagi kepada dua lapisan. Pertama ialah prinsip tetap (thawabit) seperti halal dan haram, kebersihan serta kesederhanaan.

Kedua ialah perkara yang berubah (mutaghayyirat) seperti jenis makanan, cara masakan dan selera masyarakat.

Sebagai contoh, masyarakat Arab mungkin memakan dhab, masyarakat Melayu terbiasa dengan ikan dan sambal, manakala masyarakat Turki terkenal dengan kebab. Semua ini sah dalam Islam selagi mematuhi prinsip asas yang ditetapkan.

Kesimpulannya, budaya pemakanan dalam Islam adalah satu sistem yang lengkap dan seimbang. Ia berpaksikan wahyu melalui al-Quran dan hadis, diperkukuh dengan kaedah Usul Fiqh, serta disempurnakan melalui maqasid syariah.

Kisah dhab menjadi bukti bahawa Islam tidak menyempitkan budaya makanan, sebaliknya membezakan antara hukum dan kebiasaan serta meraikan faktor geografi dan budaya.

Akhirnya, Islam tidak membina satu 'menu universal' yang seragam untuk semua manusia. Sebaliknya, ia membina satu kerangka pemakanan yang fleksibel, berakhlak dan berteraskan hikmah, sesuai untuk semua tempat, zaman dan masyarakat.

Inilah keindahan Islam sebagai agama yang bukan sahaja mengatur ibadah, tetapi juga membentuk cara hidup yang menyeluruh, termasuk dalam hal pemakanan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.