Pengarah KDNKA: Polis siap siaga hadapi PRN Johor, Negeri Sembilan

5 Jun 2026, 8:30 AM
Pengarah KDNKA: Polis siap siaga hadapi PRN Johor, Negeri Sembilan

IPOH, 5 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi memastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRN Negeri Sembilan dapat dilakukan dalam suasana aman, selamat dan terkawal susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) kedua-dua negeri berkenaan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya kini sedang memperincikan keperluan penugasan melibatkan anggota dan aset logistik, bagi menjamin kelancaran keseluruhan proses pilihan raya.

Beliau berkata persiapan awal telah digerakkan termasuk mengenal pasti keperluan keanggotaan di setiap lokasi, selain menyelaras keperluan logistik mengikut keadaan dan cabaran setempat.

"Saya juga telah mengarahkan Ketua Jabatan KDNKA di Kontinjen Johor dan Negeri Sembilan menyediakan taklimat terperinci mengenai perancangan operasi serta keperluan penugasan di negeri masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Perak yang baharu antara Datuk Noor Hisam Nordin dengan Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin di Mes Pegawai Kanan Polis, di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata sekiranya berlaku kekurangan anggota di negeri terlibat, bantuan daripada kontinjen berhampiran akan digerakkan bagi memastikan aspek keselamatan dan ketenteraman awam dapat dipastikan sepanjang tempoh pilihan raya berkenaan.

Mengulas tentang kemudahan logistik, Mohd Yusri berkata penilaian masih dijalankan memandangkan setiap negeri mempunyai keperluan yang berbeza berdasarkan keluasan kawasan, jumlah pusat pengundian dan faktor geografi.

Dalam pada itu, Mohd Yusri mengingatkan orang ramai supaya mematuhi segala peraturan serta arahan yang ditetapkan pihak berkuasa dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses demokrasi dapat berlangsung dalam suasana harmoni.

Beliau turut menyeru semua pihak agar memberikan kerjasama kepada pasukan keselamatan dalam menjaga ketenteraman awam di pusat pengundian dan kawasan sekitarnya bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh mengganggu kelancaran proses pilihan raya.

Pada Isnin lepas, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi, berkuat kuasa pada 1 Jun selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun pula mengumumkan DUN Negeri Sembilan, yang mempunyai 36 kerusi, dibubarkan secara rasmi hari ini setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.