HARAPAN perkukuh persiapan jentera hadapi PRN Johor, Negeri Sembilan - Anwar

5 Jun 2026, 8:26 AM
HARAPAN perkukuh persiapan jentera hadapi PRN Johor, Negeri Sembilan - Anwar

PUTRAJAYA, 5 JUN: Pakatan Harapan (HARAPAN) kini giat mempersiapkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Pengerusi HARAPAN berkata segala aspek persiapan jentera akan digerakkan secara optimum memandangkan notis pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi kedua-dua negeri itu dibuat dalam tempoh singkat.

“Setakat laporan semalam, kita buat (persiapan jentera) sedaya upaya kita walaupun untuk Johor itu notis yang singkat.

“Saya menyeru rakan-rakan dalam pimpinan kerajaan tumpu soal ekonomi, masalah rakyat. Kita (sebenarnya) ada masa untuk tumpu dua tiga bulan lagi bagi memulihkan (keadaan), kemudian pilihan raya. Tetapi Johor mahu (PRN) segera,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti Puchong dekat sini hari ini.

Mengulas mengenai Mesyuarat Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) semalam, Anwar yang juga Presiden KEADILAN berkata intipati utama perbincangan adalah tertumpu kepada soal perkembangan PRN di kedua-dua negeri berkenaan.

“Kita bincang perkembangan di Johor (dan) keperluan untuk perkasa pasukan, kemudian juga kemungkinan masa itu pembubaran Negeri Sembilan. Sekarang sudah bubar, jadi kita persiapkan pilihan raya Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Isnin lepas, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi, berkuat kuasa pada 1 Jun setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun pula mengumumkan DUN Negeri Sembilan, yang mempunyai 36 kerusi, secara rasmi dibubarkan hari ini setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.