Lautan manusia yang membanjiri Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) minggu ini memberi satu isyarat yang cukup melegakan bahawa masyarakat kita masih dahagakan budaya ilmu. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung meriah menterjemahkan bahawa naskhah bercetak belum lagi mati.
Namun, di sebalik keghairahan memborong bahan bacaan, ada satu mesej tersirat yang perlu dihayati oleh institusi kekeluargaan ketika era lambakan Kecerdasan Buatan (AI) ini.
Cabaran menguruskan rumahtangga dan membesarkan anak-anak masa kini jauh lebih kompleks. Kesibukan ibu bapa sering kali menjadikan gajet dan skrin pintar sebagai pengasuh segera.
Walaupun teknologi menawarkan akses maklumat tanpa sempadan, pendedahan skrin yang tidak terkawal tanpa disedari sedang merampas ruang perkembangan sosio-emosi kanak-kanak.
Mereka mungkin pintar menggesel skrin setiap masa tetapi semakin tumpul dalam membaca riak wajah, mengurus kekecewaan dan membina empati sesama manusia.

Naskhah fizikal jadi perisai minda
Di sinilah Pesta Buku berserta penganjuran Festival Sastera Kanak-Kanak pada tahun ini memainkan peranan yang sangat kritikal. Membaca bersama anak-anak bukan sekadar aktiviti masa lapang kerana ia merupakan satu intervensi awal.
Kisah teladan, konflik watak dan penyelesaian masalah di dalam naskhah sastera kanak-kanak sebenarnya berfungsi sebagai kit alat kecerdasan emosi semula jadi.
Apabila ibu bapa meluangkan masa membacakan buku, gaya keibubapaan yang responsif ini membina satu jambatan komunikasi yang mustahil dapat direplikasi oleh mana-mana aplikasi digital.
Kanak-kanak yang terdedah kepada bahan bacaan fizikal terbukti mempunyai daya tahan mental dan keupayaan penyesuaian sosial yang lebih tinggi apabila mereka melangkah ke alam persekolahan kelak.

PBAKL 2026 akan melabuhkan tirainya pada Ahad ini iaitu 7 Jun 2026. Bagi ibu bapa yang masih belum berkunjung ke sana, ambil peluang keemasan di hujung minggu ini untuk membawa anak-anak meneroka dunia baharu.
Melabur dalam naskhah bacaan fizikal bukan sekadar pelaburan untuk pencapaian akademik mereka semata-mata, tetapi ia adalah benteng pertahanan terbaik untuk membentuk generasi yang kaya dengan nilai insaniah dan kecerdasan emosi yang stabil.
Nina Nazliana binti Zolkapli adalah pelajar Program Sarjana Pengajian Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.









