Ketika ramai menghabiskan masa dengan kandungan media social dan hiburan digital, penulis terkenal Abdul Latip Talib percaya kisah tokoh silam mampu memainkan peranan penting membentuk jati diri generasi muda.
Selesa dipanggil Pak Latip, beliau berkata novel sejarah bukan sekadar bahan bacaan tetapi medium untuk menerapkan nilai kepimpinan, keberanian serta kecintaan terhadap agama dan negara kepada pembaca.
Jelasnya, kisah tokoh seperti Salahuddin al-Ayyubi, Khalid al-Walid dan Muhammad al-Fatih bukan sekadar catatan masa silam, tetapi contoh manusia hebat yang boleh dicontohi generasi hari ini.
“Macam Salahuddin al-Ayyubi contohnya, dia bunuh lawan dia masa perang sahaja. Tawanan dia tak dibunuh. Wanita dia tak usik. Kanak-kanak dia tak bunuh. Bermulianya pahlawan Islam.
"Jadi dengan harapan tadi, pembaca akan kagum dengan kisah tokoh Islam,” katanya kepada Media Selangor ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 baru-baru ini.

Selain tokoh Islam, pemilik nama sebenar Abdul Latip Talib ini turut menghasilkan karya tokoh tempatan seperti Mat Kilau, Tok Janggut dan Leftenan Adnan bagi memperkenalkan semangat perjuangan serta patriotisme kepada pembaca muda.
Penulis berasal dari Rembau, Negeri Sembilan itu berkata, pembaca bukan sahaja mengenali tokoh sejarah, bahkan dapat menghayati keperibadian dan perjuangan mereka melalui penceritaan yang lebih dekat dengan emosi.
Pada usia 72 tahun, Pak Latip sudah menghasilkan kira-kira 125 karya keseluruhan termasuk novel fiksyen kanak-kanak, remaja dan dewasa sebelum memberi tumpuan kepada novel sejarah sejak 2007.

Dari cerpen ke novel sejarah
Minatnya terhadap dunia penulisan bermula sejak di bangku sekolah agama apabila beliau banyak terdedah kepada sastera serta karya tokoh besar seperti Hamka.
Beliau kemudian mula menulis cerpen, sajak dan rencana sebelum serius menghasilkan novel sejarah bersama penerbit PTS Media Group, sebelum menerbitkan karya sendiri bermula pada 2016.
Menurut beliau, kekuatan novel sejarah terletak pada keupayaannya menjadikan tokoh sejarah lebih dekat dengan pembaca, khususnya generasi muda yang mungkin kurang tertarik dengan pendekatan fakta kaku dalam buku teks.
Menurut beliau, kisah Muhammad al-Fatih yang berjaya menawan Konstantinopel pada usia 21 tahun antara contoh yang sering dikongsikannya kepada pelajar sekolah dan universiti sebagai inspirasi bahawa usia muda bukan penghalang untuk mencapai kejayaan besar.
Namun, beliau menjelaskan kejayaan tokoh sejarah tidak harus diterjemahkan secara sempit, sebaliknya disesuaikan dengan konteks kehidupan hari ini.
“Takkanlah saya kata contohi al-Fatih, pergi berjihad, pergi ke Palestin. Tak. Saya kata jihad yang paling baik sekali, tuntut ilmu.
“Anak muda yang ada ni, tuntut ilmu. Umur nanti 22, 23 dah ada master, dapat PhD. Itu alhamdulillah. Maksudnya jihad sekarang ni ke arah tuntut ilmu,” katanya.

Kajian lapangan perkukuh fakta
Dalam memastikan karya yang dihasilkan dekat dengan fakta sejarah, Pak Latip tidak hanya bergantung kepada bahan bacaan semata-mata.
Beliau akan membuat kajian lapangan dengan mengunjungi sendiri lokasi berkaitan tokoh dan peristiwa sejarah termasuk di Turki, Mesir dan Sepanyol untuk memahami konteks sesuatu peristiwa dengan lebih mendalam.
Baginya, pengalaman berada di lokasi sebenar membantu beliau mendapatkan gambaran lebih jelas tentang latar tempat, budaya dan perjalanan sejarah sebelum diterjemahkan ke dalam bentuk novel.
Antara karya paling mendapat sambutan ialah Salahuddin al-Ayyubi dan Al-Fatih yang menurut beliau telah dicetak berpuluh kali sejak diterbitkan dan masih mendapat permintaan sehingga kini.

Pada masa sama, beliau mengakui cabaran media sosial dan budaya kandungan ringkas memberi saingan kepada dunia pembacaan, namun percaya novel sejarah masih mempunyai kelompok pembaca tersendiri.
Menurutnya, ramai anak muda masih mencari karya beliau di pesta buku, malah ada yang mengikuti penulisannya sejak sekolah rendah sehingga melanjutkan pengajian ke universiti.
Bagi Pak Latip, selagi generasi muda mencari contoh teladan dan nilai kehidupan, novel sejarah akan terus mempunyai tempat sebagai jambatan yang menghubungkan generasi hari ini dengan nilai, ilmu serta perjuangan tokoh masa lalu.









