KUALA LUMPUR, 1 Jun: Buku falsafah, biografi, novel terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) antara genre yang paling mendapat sambutan dalam kalangan generasi muda sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.
Menurut IBDE, sambutan berkenaan mencerminkan minat pembaca muda terhadap bahan bacaan yang mampu memperluas ilmu dan memperkayakan pemikiran.
“Buku biografi, novel dan falsafah mendapat sambutan yang baik dalam kalangan pembaca, khususnya golongan muda.
“Kami melihat pembaca semakin bersedia untuk mendapatkan ilmu pengetahuan baharu dan mereka sering bertanya mengenai buku yang perlu dibaca serta cadangan bahan bacaan yang sesuai,” kata Pengurus Kanan Jabatan Jualan, Pemasaran dan Pembangunan Ainunl Muaiyanah ketika ditemui di PBAKL 2026 Sabtu lalu.
Katanya, antara judul yang laris sepanjang tiga hari pertama pesta buku ialah Sejarah Ringkas Falsafah, Misteri Mayat Gadis Desa, Al Farabi – Pemikir Sanjungan Timur dan Barat, Pemburu Pantai Timur: Penjelajahan ke Kelantan dan Terengganu, Ibnu Khaldun: Riwayat Hidup dan Suri Hati Nabi.

Beliau berkata, keenam-enam judul itu mencatatkan jualan melebihi 500 naskhah secara keseluruhan, sekali gus membuktikan minat pembaca terhadap karya yang menggabungkan unsur sejarah, pemikiran, pengembaraan dan ketokohan.
Ainunl berkata, IBDE menawarkan lebih 142 judul buku termasuk hampir 20 judul baharu yang diterbitkan khas sempena pesta buku kali ini.
Katanya, buku-buku baharu berkenaan turut menerima maklum balas positif daripada pembaca dan dijangka terus mendapat sambutan sepanjang penganjuran acara itu.
“Ramai pembaca muda meminati buku-buku kami kerana mempunyai kulit keras, reka bentuk yang menarik serta ringan untuk dibawa ke mana-mana,” katanya yang mengakui sambutan menggalakkan ketika cuti sekolah berlangsung.

PBAKL 2026 berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 29 Mei hingga 7 Jun, menghimpunkan ratusan penerbit, pengedar dan pemain industri buku dari dalam serta luar negara.
Acara tahunan tersebut menawarkan pelbagai aktiviti termasuk pelancaran buku, sesi bertemu penulis serta promosi jualan bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Dalam perkembangan sama, Ainunl berkata platform digital kini dilihat sebagai pelengkap kepada bahan bacaan bercetak, terutama dalam memudahkan akses kepada maklumat dan menawarkan pelbagai pilihan kandungan kepada pembaca.

Bagaimanapun, katanya, perkembangan teknologi itu tidak menjejaskan minat terhadap buku fizikal, sebaliknya kedua-duanya saling melengkapi dalam memenuhi keperluan pembaca masa kini.
Tambahnya, tema penerbitan IBDE tahun ini mengetengahkan karya berkaitan dunia Melayu dan bahasa Melayu dengan harapan dapat menarik lebih ramai pembaca mendalami ilmu, menghargai warisan pemikiran serta memperkasa budaya membaca dalam masyarakat.









