Budaya membaca bentuk disiplin, kurangkan ketagihan gajet

5 Jun 2026, 12:00 PM
Budaya membaca bentuk disiplin, kurangkan ketagihan gajet
Budaya membaca bentuk disiplin, kurangkan ketagihan gajet
Budaya membaca bentuk disiplin, kurangkan ketagihan gajet

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Amalan membaca bukan sahaja memperluas pengetahuan, malah membantu membentuk disiplin diri serta mengurangkan kebergantungan kanak-kanak terhadap gajet dan media sosial.

Bapa, Khairul Amin, 41, berkata pendedahan kepada bahan bacaan sejak kecil penting bagi memupuk minat membaca serta membentuk sahsiah dan disiplin diri kanak-kanak.

Menurutnya, beliau kerap membawa anak-anak ke pesta buku bagi memperkenalkan pelbagai bahan bacaan menarik sekali gus menggalakkan mereka mengisi masa lapang dengan aktiviti yang lebih bermanfaat.

amin.jpg

“Kanak-kanak hari ini mudah terdedah kepada gajet, media sosial dan permainan dalam talian. Sebab itu mereka perlu didedahkan kepada buku sebagai alternatif yang lebih sihat.

“Apabila kerap dibawa ke pesta buku, mereka mula seronok membaca sehingga menjadi satu tabiat. Secara tidak langsung, penggunaan gajet juga dapat dikurangkan,” katanya kepada Media Selangor ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), yang berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun.

Khairul berkata buku bukan sahaja menambah ilmu pengetahuan, malah membantu membentuk disiplin serta mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak.

“Anak-anak saya gemar membaca buku sejarah dan komik. Hasil pembacaan itu, mereka sering bertanya untuk penjelasan lanjut. Keadaan ini membuka ruang untuk kami meluangkan lebih banyak masa bersama secara berkualiti,” katanya.

Beliau turut berharap lebih banyak pesta buku dianjurkan pada masa hadapan bagi menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

iskandar.jpg

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Setiabudi, Isqandar Zulkarnain, 16, berkata amalan membaca membantu meningkatkan pengetahuan serta melahirkan individu yang lebih berfikiran terbuka.

Katanya, beliau gemar membaca buku bukan fiksyen, terutama berkaitan sejarah, kerana mampu memperluas pemahaman mengenai pelbagai isu dan peristiwa.

“Pendedahan kepada buku sangat penting kerana ia membantu kita menambah ilmu dan menjadi individu yang lebih berpengetahuan. Saya juga lebih gemar membaca buku fizikal kerana pengalaman membacanya lebih menyeronokkan,” katanya.

aaaa.jpg

Bagi Ahmad Muslim Ahmad Murshidi, 13, dari Sekolah Menengah Integrasi Tahfiz Putrajaya, amalan membaca memberi kesan positif terhadap prestasi akademik dan tahap tumpuan.

“Saya gemar membaca buku tarbiah. Sejak membudayakan amalan membaca, saya menjadi lebih fokus dalam pelajaran dan lebih mudah memahami sesuatu perkara.

“Penggunaan gajet secara berlebihan boleh menyebabkan kita lalai. Sebab itu saya menetapkan jadual bagi mengimbangi masa membaca dan penggunaan gajet,” katanya.

Beliau turut berpendapat buku fizikal menawarkan pengalaman yang berbeza berbanding bahan bacaan dalam talian kerana membantu pembaca menghayati emosi dan mesej yang ingin disampaikan dengan lebih mendalam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.