IBDE perkenal 20 judul baharu, tawar diskaun hingga 20 peratus di PBAKL

31 Mei 2026, 1:03 PM
IBDE perkenal 20 judul baharu, tawar diskaun hingga 20 peratus di PBAKL
IBDE perkenal 20 judul baharu, tawar diskaun hingga 20 peratus di PBAKL
IBDE perkenal 20 judul baharu, tawar diskaun hingga 20 peratus di PBAKL

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) memperkenalkan 20 judul baharu daripada lebih 142 buku yang dibawa ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sejak 29 Mei hingga 7 Jun.

Pengurus Kanan Jabatan Jualan, Pemasaran dan Pembangunan IBDE Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman berkata judul-judul baharu itu menerima maklum balas positif daripada pembaca dan dijangka terus mencatat jualan memberangsangkan sepanjang pesta buku berlangsung.

Selain memperkenalkan pelbagai terbitan baharu, IBDE turut menawarkan potongan harga mengikut jumlah pembelian iaitu 20 peratus bagi tiga buku, 15 peratus (dua buku) dan 10 peratus (satu buku), selain menyediakan pelbagai tawaran kombo khas.

Pengurus Kanan Jabatan Jualan, Pemasaran dan Pembangunan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) Ainunl Muaiyanah ketika menjelaskan tawaran diskaun serta kombo khas buku terbitan IBDE pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada 30 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“IBDE juga menyediakan lapan kombo khas buat pengunjung iaitu kombo Amal, kombo Sirah, kombo Perang Dunia, kombo Alam Melayu, kombo Dunia, kitab Ihya’ Ulumuddin Jilid 1-5, kitab Ihya’ Ulumuddin Jilid 6-10 dan siri Al-Ghazali Muda," katanya ketika ditemui Media Selangor di PBAKL 2026, semalam.

Dalam pada itu, Ainunl berkata beberapa judul terbitan IBDE turut mencatat sambutan menggalakkan sepanjang dua hari pertama pesta buku berkenaan.

Antaranya Sejarah Ringkas Falsafah, Misteri Mayat Gadis Desa, Al Farabi – Pemikir Sanjungan Timur dan Barat, Pemburu Pantai Timur: Penjelajahan ke Kelantan dan Terengganu, Ibnu Khaldun: Riwayat Hidup dan Suri Hati Nabi.

Pengurus Kanan Jabatan Jualan, Pemasaran dan Pembangunan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) Ainunl Muaiyanah menunjukkan judul buku paling mendapat sambutan ketika ditemui Media Selangor di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada 30 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata keenam-enam judul tersebut merekodkan jualan melebihi 500 naskhah secara keseluruhan, sekali gus menunjukkan minat pembaca terhadap karya yang menggabungkan unsur sejarah, pemikiran, pengembaraan serta tokoh-tokoh berpengaruh.

Menurutnya, pencapaian itu turut mencerminkan penerimaan positif pembaca terhadap penerbitan IBDE yang terus menawarkan kandungan berkualiti dan relevan kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Reruai Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dipenuhi dengan pengunjung ketika tinjauan Media Selangor di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada 30 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.