SHAH ALAM, 9 MEI: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menawarkan diskaun sehingga 20 peratus sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang akan berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun.
Syarikat penerbitan yang menerima geran Kerajaan Selangor itu memaklumkan, potongan harga diberikan mengikut jumlah pembelian, iaitu 20 peratus bagi tiga buku, 15 peratus untuk dua buku dan 10 peratus bagi satu buku.
Menurutnya, pelbagai tawaran menarik termasuk kombo khas turut disediakan bagi menarik pengunjung ke reruainya sepanjang pesta buku berkenaan.
“IBDE juga menyediakan lapan kombo khas buat pengunjung iaitu kombo Amal, kombo Sirah, kombo Perang Dunia, kombo Alam Melayu, kombo Dunia, kitab Ihya’ Ulumuddin Jilid 1-5, kitab Ihya’ Ulumuddin Jilid 6-10 dan siri Al-Ghazali Muda.

“Buku Peluang Kedua yang mempunyai sedikit kerosakan, tetapi tidak menjejaskan pembacaan, IBDE meletakkan harga kasih sayang, bermula RM3 sahaja,” katanya di Facebook.
Selain itu, IBDE turut menawarkan hadiah penanda buku bertulis ‘Aku membaca maka aku ada’ bagi setiap pembelian, selain melancarkan 20 judul baharu tahun ini.
“Pengunjung juga boleh mendapatkan koleksi barangan IBDE seperti t-shirt, beg, poster, stiker, rantai kunci dan lain-lain lagi.
“Khas untuk Bukuwan IBDE, nikmati mata ganjaran dua kali ganda bagi setiap pembelian di mana-mana reruai IBDE sepanjang PBAKL 2026,” tambahnya.
Reruai IBDE boleh dikunjungi di tiga lokasi iaitu Aras 2 (Dewan Tun Ismail, reruai 503), Aras 3 (Dewan Tun Razak 3, reruai 630) dan Aras 4 (Dewan Tun Razak 4, reruai 835) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), yang beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam.









