Jangan hina sahabat Rasulullah SAW

16 Mei 2026, 7:26 AM
Jangan hina sahabat Rasulullah SAW

Tidak pernah kita dengar dua sahabat Nabi yang paling kanan, Abu Bakr as-Siddiq dan Umar al-Khattab, mempunyai peribadi yang begitu tercela sebelum menganut Islam.

Tiba-tiba dua khalifah pertama ini ditohmah dengan perwatakan yang cukup hina: Abu Bakr didakwa seorang ceti yang memeras orang miskin, sementara Umar pula penzina yang sewenang-wenangnya merampas isteri orang!

Dakwaan tanpa asas ini pula dilontar dalam ceramah politik oleh seorang agamawan sehingga mencetuskan kontroversi awal minggu ini. Ramai golongan ustaz mempertikai tuduhan tersebut.

Apakah benar dua pemimpin paling kanan ini bersifat sedemikian buruk sebelum mereka menerima dakwah Rasulullah di Makkah? Jawapannya ada dalam dua karya penting bawah projek terjemahan Kerajaan Negeri.

Diusahakan oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), setelah terjemahan sirah yang paling popular Muhammad Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal diterbit pada 2020, muncul pula riwayat hidup dua sahabat kanan ini.

Abu Bakr as-Siddiq: Liku-liku Hayat & Pemerintahan Khalifah Pertama diterbit pada 2022, setahun sebelum muncul ‘Umar al-Khattab: Kebijaksanaan Sebagai Pedang.

Ketiga-tiga karya ini karangan tokoh disegani, masing-masing olahan Martin Lings (Abu Bakr Sirajuddin), Muhammad Hussein Haikal dan Abbas Mahmud al-Aqqad.

Tiga buku ini, yang merujuk sumber-sumber teks berwibawa dalam bahasa Arab, tidak menyebut tohmahan liar seperti itu terhadap Abu Bakr dan Umar.

Malah, kajian sedia ada dalam kalangan agamawan di negara kita juga tidak pernah menemuinya. Susulan itu golongan ustaz, tua dan muda, menolak kontroversi itu dengan meluas di media sosial.

Sebagai pembaca umum, kita boleh sandarkan tiga karya terjemahan tajaan Kerajaan Selangor ini untuk menyelami sendiri akhlak, perwatakan, ketokohan dan jasa dua sahabat ini.

Mengulas Abu Bakr, pengarangnya Hussein Haikal menyatakan riwayat kehidupan awal tokoh ini tidak "tidak banyak membantu dalam usaha mengenali keperibadiannya."

Catatan awal banyak memberi tumpuan kepada "kabilah dan kedudukannya di sisi Quraisy", kata pengarang tersebut, yang juga seorang sasterawan, wartawan dan menteri.

Catatan popular tentang Abu Bakr antaranya sikap terpuji ketika menguruskan diat, yakni pampasan akibat kematian atau kecederaan. Urusan ini diserahkan kepada bani Taim bin Murrah, keturunan Abu Bakr, sejak dahulu lagi.

Ketika beliau mengetuai kabilah ini dan menguruskan diat, diriwayatkan: "Urusan diat pada zaman jahiliah diberikan kepada Abu Bakr ketika beliau menjadi ketua kabilahnya.

"Kerana itu, jika beliau diminta Quraisy untuk memutuskan sesuatu, maka mereka akan mempercayainya dan berpegang pada pendapat tersebut, sebaliknya jika sesuatu keputusan datang daripada orang lain, mereka tidak akan patuh."

Ertinya, kebijaksanaan dan amanah Abu Bakr cukup diyakini oleh kaum Quraisy. Hanya seorang tokoh yang mulia dan berwibawa mampu menanam rasa yakin ini, bukannya seorang yang buruk akhlak.

Dalam buku ini, Abu Bakr digambarkan: " ... seorang lelaki yang merendah diri, berlemah lembut, bersikap tenang dan tidak mudah dikuasai oleh hawa nafsu."

Sejarawan terkenal Ibnu Hisyam menggambarkan khalifah pertama ini sejak zaman jahiliah lagi.

Dalam kitabnya, Abu Bakr disebutkan "seorang lelaki yang sangat dikasihi kaumnya. [...] Abu Bakr juga seorang pedagang [pakaian], akhlaknya cukup dikenali ramai.

"Jika kaumnya berhadapan suatu masalah, mereka akan mengajukan permasalahan itu kepada beliau, kerana pengetahuan, pengalaman perniagaan serta pergaulannya yang baik."

Banyak lagi catatan baik tentang Abu Bakar disebut dalam buku Abu Bakr as-Siddiq: Liku-liku Hayat & Pemerintahan Khalifah Pertama. Misalnya:

"Usia Abu Bakr dua tahun lebih muda daripada baginda [Rasulullah]. Besar kemungkinan disebabkan usia yang hampir sebaya; persamaan bidang yang diceburi, memiliki ketenangan jiwa serta kerendahan diri, dan sama-sama tidak terdorong untuk mengamalkan adat dan kepercayaan [buruk] Quraisy -- itulah antara sebab yang mengeratkan persahabatan beliau dengan Muhammad SAW."

Hubungan mereka berdua terjalin sejak awal mungkin kerana tinggal berdekatan dalam kalangan kumpulan pedagang seperti isteri pertama Nabi, Khadijah binti Khuwailid.

Berbeza sedikit dengan Umar yang dikenali ada perwatakan tidak elok ketika zaman jahiliahnya. Beliau dikenali sebagai peminum arak seperti beberapa sahabat lain sebelum turun perintah larangan daripada Allah.

Catatan ini ada disebut dalam ‘Umar al-Khattab: Kebijaksanaan Sebagai Pedang, namun pengarangnya Abbas Mahmud menghurai banyak kelebihan tokoh ini.

Menghuraikan sifat-sifat Umar dalam bab ketiga, sasterawan ini menyebut: "... Umar bin al-Khattab seorang yang adil, penyayang, bersemangat waja, bijaksana, beriman teguh dan sentiasa bersiap-siaga demi kegemilangan agama.

"Adil, rahmat, penuh minat dan peka, bijaksana dan iman yang teguh merupakan sifat-sifat yang sebati dalam dirinya sehingga tiada sesiapa boleh terlepas pandang."

Seperti Abu Bakr yang mewarisi tugas mengurus diat daripada kabilahnya, Umar pula mengambil peranan bani 'Adi sebagai duta dan hakim, tugas yang dipikul dari satu generasi ke satu generasi atas sifat saksama dan juga kepetahan berbicara.

"Umar adil kerana beliau mewarisi tugas sebagai hakim daripada kabilah dan generasi sebelumnya. Beliau antara insan paling cerdas dalam keturunan bani 'Adi ...," kata pengarang.

"Umar seorang yang adil kerana beliau kuat dan lurus kesan daripada pembentukan tabiat dirinya, malah -- boleh juga anda sebut -- disebabkan pembentukan [peribadi] yang diwarisinya.

"Hal ini kerana bapanya al-Khattab dan datuknya Nufail merupakan antara orang yang tegas dan bersikap keras. Ibunya Hantamah merupakan anak kepada Hisyam bin al-Mughirah, seorang panglima perang Quraisy yang terlibat dalam setiap pertempuran."

Banyak lagi sifat positif Umar dihurai dalam buku ini, sebuah karya yang elok dibaca untuk menyelami kehebatan tokoh-tokoh sahabat Nabi.

Mereka bukanlah peribadi yang bermasalah dan dipandang serong oleh masyarakat sebelum menganut Islam. Sebaliknya, mereka sendiri sudah berwatak mulia daripada kabilah yang dihormati dan berjaya memegang amanah kaum mereka.

Jadi, amatlah tidak wajar sesiapa memberi gambaran buruk kepada sahabat Rasulullah semata-mata hendak menyatakan kehebatan ajaran Islam mengubah peribadi manusia.

Mereka sendiri sudah mempunyai sifat baik, mulia dan terpuji yang diperelokkan lagi melalui bimbingan wahyu dan didikan Nabi SAW. Semuanya boleh diteliti dalam tiga karya hebat ini, khasnya dua biografi mengenai Abu Bakr dan Umar.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.