Polis giat kesan suspek kes samun, pecah rumah

30 Mei 2026, 2:00 PM
Polis giat kesan suspek kes samun, pecah rumah

SEREMBAN, 30 MEI: Polis sedang mengesan beberapa individu disyaki terlibat dalam dua kes samun dan pecah rumah secara berasingan membabitkan kerugian dianggarkan melebihi RM110,000 di daerah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Yatim Osman berkata kejadian pertama melibatkan kes pecah rumah yang dipercayai dilakukan seorang lelaki memakai baju hud berwarna gelap di Jalan Hijayu, Bandar Sri Sendayan pada 24 Mei lepas.

“Suspek dipercayai memasuki kawasan perumahan itu dengan memanjat pagar dawai besi dari arah jalan utama sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kereta Honda Civic FD hitam.

“Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kerugian membabitkan seutas rantai emas seberat 16 gram serta sejumlah wang tunai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian kedua membabitkan kes samun dalam rumah dipercayai dilakukan dua lelaki bertopeng muka yang memasuki kawasan perumahan melalui pagar dawai besi dari arah jalan besar sebelum mengumpil tingkap dapur untuk masuk ke dalam rumah di Seremban 2 pada 9 malam, Rabu lepas.

“Mangsa mengalami kerugian barang kemas dianggarkan bernilai kira-kira RM110,000 dan siasatan forensik di lokasi kejadian menemukan lapan cap jari serta 10 sampel calitan asid deoksiribonukleik (DNA),” katanya.

Mohd Yatim berkata kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.