Kes bunuh pemuda di Pekan Nanas, enam suspek ditahan

23 Mei 2026, 1:28 AM
Kes bunuh pemuda di Pekan Nanas, enam suspek ditahan

SHAH ALAM, 23 MEI: Polis berjaya menangkap enam suspek dalam tempoh 24 jam susulan kes pembunuhan seorang pemuda di hadapan kedai makan di Pekan Nanas, Pontian pada jam 3.53 pagi Khamis lalu .

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata semua suspek warga tempatan berusia antara 18 hingga 22 tahun ditahan dalam operasi khas dijalankan bermula jam 8 malam pada 21 Mei hingga 4 pagi, 22 Mei lalu.

Menurutnya, operasi melibatkan Task Force Jenayah Kontinjen Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian dengan bantuan pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor.

“Serbuan dilakukan di Taman Botani Batu Pahat dan Pangsapuri Awam Lima Kedai, Gelang Patah. Semua mereka mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

"Hasil soal siasat, semua suspek mengaku terbabit dalam kes berkenaan sehingga menyebabkan kematian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hadzrat Hussein berkata pihak polis merampas dua buah kenderaan termasuk Nissan Navara dan Toyota Estima.

“Turut dirampas sebilah parang, lima pelitup muka warna hitam dan sebuah telefon bimbit jenama İPhone. Nilai keseluruhan rampasan RM120.00,” katanya.

Semua suspek direman selama tujuh hari sehingga 28 Mei dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya.

“Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan pihak polis meneruskan pengesanan seorang suspek yang masih bebas,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.