KOTA BHARU, 2 MEI: Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB) menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga seorang pelajarnya dari kampus Kota Bharu yang ditemui maut di Ketereh pada Jumaat lepas.
KPTMSB dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.
"Pihak KPTMSB sedang memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam proses siasatan berkenaan.
"KPTMSB turut menyediakan bantuan serta memberikan sokongan sepenuhnya kepada keluarga mangsa bagi membantu mereka menghadapi saat-saat sukar ini," menurut kenyataan itu.
Susulan insiden itu, pihak pengurusan kolej menasihatkan seluruh warga kampus dan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat atau spekulasi yang tidak sahih.
Menurut KPTMSB, langkah itu penting bagi menghormati privasi keluarga mangsa yang sedang bersedih di samping memastikan kelancaran siasatan pihak polis.
Maklumat lanjut berhubung perkembangan insiden berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi KPTMSB.
Semalam, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan penemuan mayat mangsa di jalan berhampiran sawah Kampung Simah, Ketereh, Kota Bharu yang dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum dibuang di situ.
Susulan kejadian itu, empat suspek terdiri daripada tiga lelaki berusia 19 hingga 66 tahun dan seorang wanita 60 tahun ditahan reman pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.








