Pelajar kolej maut 61 tikaman: Jenazah Nurfisya selamat dikebumikan

2 Mei 2026, 3:56 AM
Pelajar kolej maut 61 tikaman: Jenazah Nurfisya selamat dikebumikan

KUALA KANGSAR, 2 MEI: Ahli keluarga penuntut kolej perempuan berusia 19 tahun yang ditemukan maut dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh, Kelantan semalam, meminta mereka diberikan ruang untuk bertenang susulan kejadian tragis itu.

Tinjauan di kediaman keluarga mangsa di Kampung Batu Jarau di sini mendapati keadaan sunyi dan hanya ahli keluarga terdekat difahamkan berada di situ.

“Kami mahukan privasi, mohon beri (ruang) bertenang sebab kami penat dan tidak tidur seharian sejak semalam,” kata bapa saudara mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui pemberita.

Terdahulu, jenazah Nurfisya Zulkifly selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Periang dekat sini pada 5.30 pagi.

Jenazah dibawa pulang selepas proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, Kelantan selesai malam tadi.

Semalam, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan penemuan mayat mangsa di jalan berhampiran sawah Kampung Simah, Ketereh yang dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum dibuang di situ.

Abang mangsa Mohd Faris Zulkifly, 21, berkata mereka sekeluarga ke Kelantan pada Sabtu lepas bagi menghantar arwah memulakan semester baharu di sebuah institusi pendidikan sebelum menerima berita tragis itu pada tengah hari semalam.

Susulan kejadian itu, empat suspek terdiri daripada tiga lelaki berusia 19 hingga 66 tahun dan seorang wanita 60 tahun ditahan reman pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

TAG: mangsa, tikam, pelajar, keluarga, Kuala Kangsar

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.