SHAH ALAM, 2 MEI: Cemburu dipercayai menjadi punca pembunuhan seorang pelajar kolej berusia 19 tahun, yang mayatnya ditemui dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, tengah malam kelmarin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata mangsa dipercayai ditikam sehingga mati oleh teman lelakinya yang juga berusia 19 tahun selepas berlaku salah faham, lapor New Straits Times.
"Polis percaya cemburu adalah motif pembunuhan mangsa, siasatan awal menunjukkan berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek yang membawa kepada kematiannya. Dia dipercayai ditikam ketika berada di dalam kereta suspek.
"Dengan penangkapan suspek utama ini, polis percaya kes pembunuhan ini sudah selesai," katanya.
Mohd Yusoff berkata, seorang lagi remaja yang ditahan dalam kes berkenaan adalah rakan mangsa.
Terdahulu, dua remaja lelaki direman tujuh hari manakala dua warga emas termasuk seorang wanita direman tiga hari bagi membantu siasatan kes bunuh seorang penuntut kolej perempuan dengan 61 kesan tikaman.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid.
Semalam media melaporkan, mayat seorang wanita yang ditinggalkan di Ketereh, tengah malam kelmarin, mempunyai 61 kesan tikaman di seluruh anggota badannya.
Mangsa ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun pihaknya sudah mengenal pasti mangsa berdasarkan semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi terbabit.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada.








