Usia 19 tahun bukan halangan Aqil galas tugas penyembelih korban

30 Mei 2026, 12:00 PM
Usia 19 tahun bukan halangan Aqil galas tugas penyembelih korban
Usia 19 tahun bukan halangan Aqil galas tugas penyembelih korban
Usia 19 tahun bukan halangan Aqil galas tugas penyembelih korban
Usia 19 tahun bukan halangan Aqil galas tugas penyembelih korban
Usia 19 tahun bukan halangan Aqil galas tugas penyembelih korban

SELAYANG, 30 MEI: Muhammad Aqil Nizamuddin, 19, membuktikan usia muda bukan penghalang untuk menggalas tanggungjawab sebagai penyembelih ibadah korban, walaupun tugas itu kebiasaannya disandang individu yang lebih berusia dan berpengalaman.

Pelajar tingkatan enam itu mula mendalami bidang berkenaan selepas mengikuti kursus penyembelihan selain menimba pengalaman bersama penyembelih berpengalaman dalam komuniti setempat.

"Tahun pertama saya sembelih seekor lembu sahaja. Tahun ini, berkat ajaran abang-abang yang dah pakar ni, saya dah sembelih empat ekor lembu dengan tiga ekor kambing," katanya.

Pelajar jurusan Sains Sosial itu ditemui pada Program Korban Perdana dan Kenduri Rakyat DUN Taman Templer di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Selayang Baru 2, hari ini.

Penyembelih ibadah korban, Muhammad Aqil Nizamuddin, 19. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Menurut Muhammad Aqil, minat terhadap penyembelihan bermula sejak kecil kerana keluarganya melaksanakan ibadah korban setiap tahun, sekali gus memberinya peluang mempelajari proses melapah haiwan.

"Keberanian tu datang dari semangat sebenarnya. Bila kita ada semangat ni, semua benda boleh. Lepas tu ada sokongan-sokongan lain dan ada minat juga.

"Daripada panggil orang-orang kat rumah, baik saya sendiri yang sembelih. Lepas tu saya belajar, Alhamdulillah. Dapat kemahiran untuk sembelih," katanya.

Muhammad Aqil berkata kursus anjuran DUN Taman Templer yang diikutinya memberi pendedahan mengenai teori dan praktikal penyembelihan, termasuk kaedah mengurus serta mengendalikan haiwan korban secara tertib.

Beliau turut berpandangan lebih ramai golongan muda perlu didedahkan kepada bidang itu memandangkan ramai penyembelih berpengalaman semakin berusia.

"Pemuda untuk kerja penyembelihan ni kena tambah lagi sebab otai pun dah tak larat.Bila kita masuk bidang pengurusan haiwan, kita tahu macma mana nak mengendali haiwan itu dengan cara ehsan dan Thayyiban," katanya.

Penyembelih ibadah korban, Dody Harnain Maharnis, 51. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, penyembelih dengan pengalaman 20 tahun, Dody Harnain Maharnis, 51, menyifatkan penglibatan ramai belia dalam aktiviti korban sebagai perkembangan positif untuk melahirkan pelapis baharu.

Beliau berkata pelbagai seminar dan kursus penyembelihan terus dianjurkan komuniti setempat bagi memastikan ilmu berkaitan penyembelihan syarie dapat diwariskan kepada generasi muda.

"Apa pun yang kita lakukan perlu ada ilmu dan kekuatan mental. Dengan adanya kursus dan seminar yang kita anjurkan, insyaAllah membantu melahirkan penyembelih muda sebagai penerus generasi seterusnya," katanya.

Menurut Dody, komuniti juga perlu memainkan peranan menarik minat golongan muda mendekati ilmu syariat walaupun berdepan pengaruh teknologi masa kini.

Penyembelih ibadah korban, Suraman Makkazen, 61. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Lebih 20 tahun pengalaman, penyembelih Suraman Makkazen, 61, pula berkata bidang yang memerlukan kekuatan fizikal ini wajar diteruskan oleh golongan muda yang lazimnya masih mempunyai tenaga dan keupayaan untuk melaksanakan tugas tersebut.

"Tenaga muda memang diperlukan, mereka perlu ambil inspirasi dan ilmu yang sepatutnya dari orang-orang lama termasuk melapah dan menyembelih," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.