SEPANG, 28 MEI: Menjalani kehidupan di sebalik tirai besi tidak menjadi penghalang kepada orang dalam seliaan (ODS) di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Sepang untuk menunaikan ibadah korban sempena Aidiladha, hari ini.
Program tahunan itu yang memasuki tahun ketiga penganjurannya disertai seramai 49 ODS dengan pelaksanaan ibadah korban melibatkan 10 ekor lembu di Kampung Ulu Teris, di sini.
Timbalan Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Faizal Ahmad berkata daripada jumlah tersebut, tujuh ekor lembu disumbangkan oleh pihak penjara manakala tiga ekor lagi merupakan sumbangan badan korporat serta Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).

“Program ini merupakan yang paling besar setakat ini. Sebelum ini kita hanya laksanakan tiga dan lima ekor lembu sahaja.
“Apa yang lebih membanggakan, ibadah korban ini juga adalah hasil pendapatan ODS sendiri,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, daging korban akan diagihkan kepada waris keluarga ODS serta penduduk kampung sekitar yang terdiri daripada golongan asnaf dan fakir miskin.
Sementara itu, seorang penghuni PRP Sepang, Shamsul (bukan nama sebenar), 37, meluahkan rasa terharu apabila berpeluang menunaikan ibadah korban buat kali pertama dalam hidupnya.

Beliau berkata pada awalnya merancang untuk melaksanakan ibadah korban selepas dibebaskan tahun depan, namun mengambil keputusan untuk melakukannya lebih awal kerana bimbang tidak berkesempatan.
“Ini pertama kali, seumur hidup saya. Saya memang rancang nak buat tahun depan bila bebas, tapi bila ada peluang ini saya buat sekarang.
“Pihak penjara juga banyak memberi motivasi dan dorongan kepada kami untuk melaksanakan ibadah korban,” katanya.
Bagi ODS, Arif, 27, pula, beliau menyimpan wang gaji lebih setahun bagi merealisasikan hasrat menunaikan ibadah korban bersama rakan-rakan di PRP Sepang.

“Tahun ini tahun terakhir saya di sini selepas dua tahun. Syukur hari ini sangat meriah.
“Saya pernah buat korban bersama keluarga di Terengganu, tetapi di sini lebih bermakna kerana dapat bergotong-royong bersama rakan-rakan,” katanya.











