Simpan RM70 sebulan demi tunaikan ibadah korban saban tahun

27 Mei 2026, 1:06 PM
Simpan RM70 sebulan demi tunaikan ibadah korban saban tahun
Simpan RM70 sebulan demi tunaikan ibadah korban saban tahun
Simpan RM70 sebulan demi tunaikan ibadah korban saban tahun

KUALA LANGAT, 27 MEI: Kenaikan kos sara hidup dan harga lembu korban yang semakin meningkat tidak menghalang umat Islam untuk terus melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha demi memenuhi tuntutan agama.

Malah ada peserta sanggup membuat simpanan bulanan sekitar RM70 bagi memastikan hasrat untuk berkorban dapat diteruskan setiap tahun walaupun harga satu bahagian kini melebihi RM800.

Peserta korban di Surau Haji Hassan Sijangkang, Muhammad Nazmi Ishak, 56, berkata dia mula menabung secara bulanan sejak beberapa tahun lalu sebagai persediaan awal menghadapi peningkatan kos korban.

“Contoh harga RM850 kira-kira dalam RM70 sebulan. Macam main kutu juga lah, jadi alhamdulillah tak ada masalah.

Peserta korban Surau Haji Hassan Sijangkang, Muhammad Nazmi Ishak, 56. Foto DEWI ABDUL RAHMAN/MEDIASELANGOR

“Bila harga dah lebih RM800, kita rasa kena buat sesuatu. Jadi kami pilih cara menabung supaya bila tiba Aidiladha tak terasa sangat bebannya,” katanya kepada Media Selangor.

Nazmi yang juga kakitangan kerajaan berkata perancangan awal membantu dirinya terus istiqamah menyertai ibadah korban hampir setiap tahun sejak sedekad lalu.

“Bila dah bersedia daripada awal, rasa macam tak ada masalah sangat. Walaupun ekonomi macam mana pun, kita dah rancang awal,” ujarnya.

Seorang lagi peserta, Haniza Ab Hamid, 53, berkata keadaan ekonomi semasa bukan alasan untuk meninggalkan ibadah korban kerana percaya rezeki akan dipermudahkan sekiranya mempunyai niat yang baik.

“Awal tahun saya dah niat untuk buat korban. Cuma tahun ini saya buat keputusan agak lewat sebab tengok keadaan bajet juga.

Peserta korban Surau Haji Hassan Sijangkang, Haniza Ab Hamid, 53. Foto DEWI ABDUL RAHMAN/MEDIASELANGOR

“Tapi saya yakin ibadah ini sangat dituntut dan Allah SWT akan permudahkan. Alhamdulillah saya masih diberi peluang untuk terus berkorban tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Surau Haji Hassan Sijangkang Mohamad Rafi Miskan berkata 15 ekor lembu dikorbankan tahun ini berbanding 14 ekor tahun lalu dan 12 ekor tahun sebelumnya.

Katanya, sambutan diterima amat menggalakkan apabila penyertaan hampir penuh dalam tempoh dua minggu meskipun keadaan ekonomi semasa semakin mencabar.

“Penyertaan memang cepat penuh, dalam masa dua minggu sudah 10 ekor.

“Ada juga mendaftar saat akhir tetapi kami terpaksa hadkan sebab bimbang tak mampu urus,” katanya.

Menurutnya, peningkatan penyertaan didorong kesedaran masyarakat terhadap kepentingan ibadah korban selain pengisian kuliah agama yang diadakan secara konsisten di surau berkenaan.

Pengerusi Surau Haji Hassan Sijangkang Mohamad Rafi Miskan. Foto DEWI ABDUL RAHMAN/MEDIASELANGOR

Beliau berkata daging korban tahun ini diagihkan kepada lebih 1,000 penerima termasuk golongan fakir miskin, penduduk sekitar, penghuni rumah sewa, pekerja asing serta individu yang membantu sepanjang urusan korban dijalankan.

Katanya, pihak surau turut memperkenalkan sistem kupon berwarna tahun ini bagi memudahkan proses agihan selain memastikan lebih ramai penerima mendapat manfaat.

“Fakir miskin tahun ini kita bagi dua bungkusan berbanding satu sebelum ini. Kalau ada lebih, kita akan terus agihkan supaya lebih ramai dapat menikmati daging korban.

“Kita tak bezakan, termasuk penduduk rumah sewa dan mereka yang memerlukan. Asalkan layak dan perlukan bantuan, kita bantu sama rata,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.