Harga makanan ternakan naik, jualan lembu korban di Kuala Langat merosot 30 peratus

24 Mei 2026, 8:00 AM
Harga makanan ternakan naik, jualan lembu korban di Kuala Langat merosot 30 peratus
Harga makanan ternakan naik, jualan lembu korban di Kuala Langat merosot 30 peratus
Harga makanan ternakan naik, jualan lembu korban di Kuala Langat merosot 30 peratus
Harga makanan ternakan naik, jualan lembu korban di Kuala Langat merosot 30 peratus

KUALA LANGAT, 24 MEI: Peningkatan kos makanan ternakan, penghantaran dan bekalan import memberi tekanan kepada penternak lembu tempatan sehingga menyebabkan jualan lembu korban merosot hampir 30 peratus tahun ini.

Penternak lembu, Mohd Zairi Sallehuddin, 49, berkata keadaan itu turut dipengaruhi konflik global yang memberi kesan kepada peningkatan kos operasi dan rantaian bekalan selain pertambahan persaingan daripada penternak baharu khususnya di Kampung Olak Lempit, Kuala Langat.

Mohd Zairi.jpg

Menurutnya, kebanyakan penternak baharu lebih agresif melakukan promosi bagi mendapatkan pelanggan sedia ada, namun beliau memilih untuk tidak berbuat demikian kerana bimbang menanggung kerugian lebih besar.

“Jualan memang menurun dengan ketara. Tahun lepas saya berjaya jual hampir 200 ekor lembu, namun tahun ini untuk capai 100 ekor pun agak sukar berikutan keadaan ekonomi semasa dan peningkatan pelbagai kos yang memberi kesan kepada pembeli serta penternak.

“Selain itu, peningkatan kos makanan ternakan, tali lembu dan caj penghantaran turut menjadi cabaran apabila semua kos terpaksa diserap dalam harga jualan kerana kebanyakan pembeli tidak gemar caj tambahan,” katanya ketika ditemui Media Selangor, baru-baru ini.

Mohd Zairi berkata kos makanan ternakan meningkat apabila harga sisa sawit naik daripada RM40 kepada RM80 satu tan susulan kenaikan diesel manakala dedak naik daripada RM45 kepada RM62 bagi 50 kilogram (kg), selain kos lain seperti tali lembu dan penghantaran turut meningkat.

Lembu-lembu Mohd Zairi Sallehuddin sedia untuk dikorbankan menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi di Kampung Olak Lempit, Kuala Langat pada 18 Mei 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Tambah beliau, situasi semasa juga memaksa mereka mencari alternatif lebih murah seperti menggunakan sisa kelapa sawit dan menanam rumput napier sendiri sebagai sumber makanan ternakan bagi mengurangkan tekanan kos operasi yang semakin meningkat.

Dalam pada itu, Mohd Zairi memaklumkan kebanyakan stok lembu diperoleh dari Thailand berikutan bekalan lembu tempatan ketika ini masih belum mampu menampung permintaan sempena Aidiladha sehingga menyebabkan industri bergantung kepada import.

Katanya, setiap lembu yang dibeli dari Thailand biasanya berusia hampir dua tahun sebelum dipelihara selama tujuh hingga lapan bulan termasuk melalui proses rawatan dan penjagaan rapi sebelum dijual bagi tujuan ibadah korban.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.