SHAH ALAM, 30 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan kompaun terhadap penjaja lemang tanpa lesen yang dikesan menjalankan perniagaan di beberapa kawasan menerusi operasi pemantauan berkala baru-baru ini.
MPAJ memaklumkan pemantauan yang dilaksanakan Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan itu bertujuan memastikan aktiviti jualan lemang dijalankan secara teratur, selamat serta mematuhi syarat lesen.
"Tindakan kompaun yang dikenakan terhadap penjaja berkenaan merupakan langkah pendidikan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang kecil yang berkuat kuasa," maklumnya dalam hantaran di Facebook.
MPAJ berkata pihaknya sentiasa menggalakkan peniaga menjalankan aktiviti perniagaan secara sah dan bertanggungjawab demi menjaga aspek kebersihan, keselamatan serta kesejahteraan komuniti setempat.
"Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa secara berhemah dan berterusan bagi memastikan pematuhan dalam kalangan peniaga," katanya lagi.







